Daftar anak sertai SOBD

Daftar anak sertai SOBD

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Persatuan Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam, (SOBD) menyeru para ibu bapa yang mempunyai anak yang kurang upaya daripada segi intelektual tetapi mempunyai bakat dan minat dalam bidang sukan supaya mendaftarkan anak mereka dengan persatuan itu agar dapat didedahkan kepada pergaulan dalam kalangan atlet-atlet seperti mereka dan juga dengan atlet normal.

Pengerusi SOBD, Haji Mahrub bin Haji Murni berkata, masih terdapat para ibu bapa yang segan silu untuk melibatkan anak-anak mereka dalam persatuan itu di sebalik wujudnya Rangkaian Keluarga (Family Network) untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa bagi melibatkan anak-anak mereka dalam Olimpik Khas.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Agung Tahunan SOBD Kelima untuk memilih Lembaga Pentadbir SOBD bagi sesi 2016-2018, yang berlangsung di Bilik Persidangan Sekolah Menengah Berakas, hari ini.

Pada mesyuarat itu kira-kira 50 para hadirin yang terdiri daripada ibu bapa, para penaja serta beberapa pegawai kerajaan terbabit telah mengundi dan melantik beliau sebagai Penasihat SOBD, sementara jawatan Pengerusi dijawat oleh Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut dan Awang Jumat bin Salleh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Haji Mahrub (tengah) bersama Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli dan Dayang Wati pada Mesyuarat Agung Tahunan SOBD.
Haji Mahrub (tengah) bersama Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli dan Dayang Wati pada Mesyuarat Agung Tahunan SOBD.

Katanya, perangkaan menunjukkan sekitar 10 peratus daripada setiap sepuluh kelahiran anak damit di negara ini adalah tergolong dalam kumpulan anak-anak istimewa, sekali gus bermakna sekitar 40,000 orang kanak-kanak di negara ini adalah mereka yang tergolong dalam kumpulan kanak-kanak istimewa, berbanding kira-kira 1,000 jumlah keahlian yang berdaftar dalam SOBD setakat ini.

Katanya di negara ini, atlet sukan Olimpik dan Paralimpik dibiayai seratus peratus oleh kerajaan tetapi sejak penubuhannya pada 2004, atlet Olimpik khas terpaksa mencari sendiri sumber kewangan bagi membiayai penyertaan para atletnya dalam kejohanan sukan dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa, yang sebahagian besarnya diperoleh melalui penajaan sektor swasta dan pihak individu.

“Untuk makluman biskita, Olimpik Khas ini merupakan satu pergerakan sukan yang mula-mula diasaskan di Amerika Syarikat pada 2003, dan setelah penubuhan SOBD setahun kemudian, Negara Brunei terus menjadi ahli kepada Olimpik Khas Antarabangsa,” kata beliau.

Hanya setelah mendapat keahlian dalam Olimpik Khas Antarabangsa, barulah SOBD mula memainkan peranan aktif menggerakkan kegiatan yang ada, kata beliau sambil menegaskan cabarannya ialah atlet-atlet tersebut memerlukan banyak bantuan.

ARTIKEL YANG SAMA