Daftar dengan Matrade bagi sokongan pasaran luar negara

Daftar dengan Matrade bagi sokongan pasaran luar negara

MELAKA, 2 Okt – Lebih banyak syarikat disaran mendaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membolehkan bantuan dan sokongan disalurkan kepada mereka terutama dalam meneroka pasaran luar negara. Pengarah Pejabat Wilayah Selatan Matrade, Raphy Md Radzi berkata pada masa ini, syarikat di wilayah selatan masih kurang mendaftar dengan badan itu.

Syarikat tempatan tidak seharusnya bergantung dan terlalu selesa dengan pasaran domestik sebaliknya perlu berani meneroka pasaran luar negara, katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Selain itu, syarikat domestik juga perlu bersedia dengan pengetahuan dan pengalaman bagi mengelak masalah seperti ditipu rakan kongsi, kekurangan modal dan mudah berputus asa.

“Pengusaha syarikat perlu berhati-hati dengan pasaran yang rumit khususnya di negara asing, oleh itu, ilmu dari syarikat berpengalaman boleh dijadikan sebagai mentor untuk membantu memperluaskan pasaran,” katanya.

Raphy berkata terdapat pengusaha syarikat yang pernah berhadapan masalah apabila dikenakan bayaran hanya kerana tidak mendaftarkan tanda dagangan produk mereka di negara luar.

Beliau berkata wilayah selatan kini menyumbang hampir 13 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat mendaftar dengan Matrade di seluruh Malaysia.

Setakat ini, 2,375 syarikat beroperasi di wilayah selatan mendaftar dengan Matrade, daripada jumlah itu 1,672 syarikat dari Johor, 387 syarikat di Melaka dan selebihnya di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengurus Kanan (eTRADE, eBusiness dan teknologi maklumat) Matrade, Asnor Vidya Nor Azmi berkata perbadanan itu menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan e-dagang dalam perniagaan rentas sempadan.

Beliau berkata antaranya ialah Insentif Asas eTRADE yang memberi insentif RM2,500 kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA