Daftar nombor telefon bimbit dengan SWB

Daftar nombor telefon bimbit dengan SWB

SIBU, 29 Jun (Bernama) – Orang ramai di Sibu diminta supaya mendaftar nombor telefon bimbit mereka dengan pihak Lembaga Air Sibu (SWB) supaya mereka dapat dimaklumkan mengenai sebarang masalah gangguan air.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, ini bagi membolehkan mereka menyimpan air terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembaikan paip air dilakukan.

“Pengguna boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline SWB di 084-216311 dan setiap pendaftaran haruslah disertakan dengan nombor akaun bekalan air mereka. Sekiranya ada gangguan mereka akan dimaklumkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat isu bekalan air di kawasan Sibu Barat di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar SWB Datuk Alice Jawan, Ketua Bahagian Perkhidmatan Pelanggan dan Bekalan Siew Kok Kiong, Pembantu Jurutera Geofrey Ng dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Pau Kiew Chuan.

Menurut Wong, 90 peratus daripada kejadian gangguan bekalan air dapat diselesaikan dalam masa enam jam dan gangguan air seringkali terjadi akibat daripada paip yang pecah berikutan pemendapan tanah.

Bagi kawasan Sibu Barat khasnya di kawasan Sungai Maaw, gangguan bekalan air adalah disebabkan kerja-kerja pemasangan paip bagi bekalan air ke kawasan Tanjung Manis.

Bagi kawasan Jalan Bawang Assan, kejadian gangguan air disebabkan oleh kegagalan paip untuk menampung tahap tekanan air yang tinggi.