Daftar online CE-ALAF dibuka

Daftar online CE-ALAF dibuka

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, mula membukakan pendaftaran dalam talian bagi Ekspedisi Amal 2015 (CE) iaitu aktiviti mengumpul dana di bawah inisiatif “Advocating Life-Long Learning for an Aspiring Future” (ALAF) sebagai program tanggungjawab sosial (SCR) BIBD.

Pelancaran pendaftaran dalam talian CE-ALAF ini berlangsung di ibu pejabat BIBD, di sini, dan dihadiri bersama oleh Pengarah Urusan BIBD, Awang Javed Ahmad dan Timbalan Ketua Perbankan Pengguna dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar serta pegawai-pegawai kanan BIBD.

Semasa sidang akhbar petang tadi, Pengurus Projek CE-ALAF, Awang Ahmad Nazmie bin Haji Omar menjelaskan pendaftaran bagi CE-ALAF hanya dibukakan secara online sahaja di laman sesawang www.bibdalaf.com bermula jam 5 petang hari ini sehingga 30 September 2015.

Menjelaskan lebih terperinci mengenai acara yang bakal diadakan pada 25 Oktober 2015 itu nanti, beliau berkata ia akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan menampilkan lima kategori berbeza iaitu perlumbaan kompetitif 21, 10 dan 5km, perlumbaan bukan kompetitif 3km dan berbasikal.

Bayaran penyertaan adalah serendah $25 tertakluk kepada kategori yang disertai dan begitu juga dengan tawaran hadiah perlumbaan kompetitif yang boleh dimenangi sehingga $2000.

Pihak pengurusan CE-ALAF bergambar ramai bersama sebilangan rakan kongsi CE-ALAF 2015.
Pihak pengurusan CE-ALAF bergambar ramai bersama sebilangan rakan kongsi CE-ALAF 2015.

“Sembahyang Subuh berjemaah untuk orang ramai dan peserta juga disediakan, sebelum acara dimulakan seawal kira-kira 5 pagi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hajah Nurul Akmar berkata dengan bantuan daripada rakan kongsi dan orang ramai, mereka akan dapat memberi kesedaran dan meningkatkan jumlah dana untuk disumbangkan ke ALAF untuk membantu menyediakan peluang-peluang terbaik pendidikan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Ini, katanya lagi, termasuklah dengan orang-orang yang berkepentingan seperti Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Ugama, yang membolehkan pihak BIBD menyumbangkan lebih banyak faedah dalam sistem pendidikan Brunei dan meningkatkan kecemerlangan akademik dan bukan akademik di bawah masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Secara dalaman, kami juga dapat mengukuhkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pekerja kita sendiri, rakan-rakan dan sukarelawan sebagai asas usaha masa depan dan sebagai menganjurkan aktiviti penglibatan sosial,” jelasnya.

Ini adalah tahun ketiga acara seumpamanya dianjurkan dan BIBD berharap untuk meneruskan lagi kejayaan CE-ALAF yang sebelumnya yang menyaksikan 6,000 penyertaan dan berjaya mengutip lebih $665,000 sehingga ke hari ini.

Kira-kira 700 orang sukarelawan dijangka terlibat dalam acara tahun ini bagi memastikan pengurusan acara berjalan lancar dan efisien memandangkan tahun ini dijangka sebanyak 7,000 ke 10,000 penyertaan yang diterima.

Rakan kongsi bagi acara CE-ALAF tahun ini termasuk D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd, Aewon Brunei, Active Network, Dsignku, PLUS Magazine, Adxpert Marketing, Victory Athletes dan Ranoadidias.

Untuk keterangan lanjut mengenai CE-ALAF dan seterusnya untuk menjadi rakan kongsi acara tersebut bolehlah melayari laman utamanya di www.bibdcharityexpedition.com, e-mel pasukan BIBD CE-ALAF di info@bibdcharityexpedition.com atau hubungi hotline BIBD CE-ALAF di talian 8222110.