Daftar produk, makanan kiub

Daftar produk, makanan kiub

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Pengusaha kedai runcit kiub bertanggungjawab untuk memastikan pembekal dan penyewa yang menjual makanan import dari luar negara mendaftarkan produk makanan berkenaan di Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, dan mendapatkan salinan pendaftaran yang telah diluluskan daripada pembekal.

Pegawai Kesihatan Awam, Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abdul Samad juga melahirkan harapan agar para peniaga atau penyewa untuk sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan terutamanya peniaga yang menjual makanan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai peraturan.

Beliau menekankan perkara ini semasa sesi taklimat yang diadakan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, pagi tadi, di mana dua lagi ahli panel iaitu Ahli Kimia Ubat Kanan, Dayang Hasmilawaty binti Haji Mohd Taib dan Pegawai Pemakanan, Dayang Siti Hazirah binti Haji Abu Hassan membincangkan mengenai kepentingan keselamatan makanan dan produk di kedai kiub.

Dalam taklimatnya, Hajah Siti Shamsiah telah menyentuh mengenai isu-isu tentang penjualan makanan dan barangan di kedai runcit ‘Cubeshop’ dan menjelaskan mengenai peraturan-peraturan kepada pembekal dan penyewa kedai-kedai kiub berkenaan.

Kementerian Kesihatan telah mendapati tanggungjawab pembekal dan penyewa kedai runcit kiub telah merancang pengurusan jualan dengan baik, bersih dan pemasarannya amat memuaskan dengan perancangan yang strategik, yang menurutnya, perlu diteruskan, akan tetapi ada setengahnya juga tidak mengikuti peraturan.

Taklimat yang disampaikan oleh para pegawai Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang berlangsung di Dewan Al-Afiah.
Taklimat yang disampaikan oleh para pegawai Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang berlangsung di Dewan Al-Afiah.

Beliau telah menerangkan mengenai akta dan peraturan-peraturan yang bersangkut paut dengan makanan yang sudah digubal iaitu Akta Kesihatan Awam (Makanan) Penggal 182, Peraturan-peraturan Awam (Makanan), (P1, Penggal 182).

Manakala itu, Dayang Hasmilawaty pula telah menyampaikan taklimat mengenai barangan kosmetik yang menurutnya, terdapat beberapa kesalahan yang didapati sewaktu pemeriksaan dilakukan di mana penjual menjual barangan yang sudah dilarang dijual di Negara Brunei Darussalam.

Antara barangan yang dilarang adalah ubatan haiwan yang mempunyai bahan racun berjadual, tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa, produk dengan label menggunakan bahasa asing juga ditegah kerana perkara ini boleh meragukan si pembeli dan sukar untuk difahami erti maksud maklumat produk berkenaan.

Produk yang tidak mematuhi peraturan akan diambil untuk dihantar ke farmasi bagi proses pemeriksaan dan surat tahanan juga akan dikeluarkan untuk pemiliknya, tegas beliau.

pg11_160622_b

Antara pembekal, pemilik dan penyewa yang hadir pada sesi taklimat berkenaan.
Antara pembekal, pemilik dan penyewa yang hadir pada sesi taklimat berkenaan.

Seterusnya, Dayang Siti Hazirah pula telah menyampaikan taklimat mengenai kesihatan pemakanan.

Taklimat berkenaan merupakan sebagai usaha dalam mempertingkatkan keselamatan makanan, perubatan, dan kosmetik yang dijual di kedai runcit kiub yang semakin banyak diusahakan di negara ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, penyampai taklimat terdiri daripada para pegawai dari Perkhidmatan Farmasi, Bahagian Kawalan Kuantiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Salah seorang pemilik kedai kiub di Gadong yang ditemui, Haji Affendy bin Haji Osman berkata, taklimat ini amat berguna bagi semua pihak yang terlibat dalam perniagaan kedai runcit kiu, kerana ada sesetengah pelanggan yang kurang mematuhi peraturan atau tidak mengetahui tentang peraturan berkenaan.

Menurutnya lagi, mereka juga mempunyai ramai pelanggan yang ingin menyewa kedai runcit kiub akan tetapi sesetengah daripada mereka gagal menunjukkan surat persijilan yang telah ditetapkan.

“Kami harap, dengan adanya taklimat kesedaran ini, akan dapat memberi pengetahuan lebih kepada mereka yang belum tahu, dan meningkatkan lagi kesedaran dan keselamatan di antara satu dengan yang lain,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA