Daftar syarikat melalui online

Daftar syarikat melalui online

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Sebagai salah satu projek pemberigaannya, Kementerian Kewangan, hari ini, telah mengadakan sesi taklimat mengenai Pendaftaran Syarikat dan Perniagaan secara online dan Perintah Penyimpanan Rekod-rekod (Perniagaan), 2015, yang diadakan di Dewan Utama, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Ja’afar dan Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abd Rauf.

Para penduduk, komuniti peniaga dan usahawan serta pegawai-pegawai kerajaan di Daerah Tutong juga telah dijemput untuk mendengarkan taklimat tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, antara yang disentuh dalam taklimat berkenaan termasuk mengenai Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan, iaitu berhubung pendaftaran secara online yang mudah, cepat dan boleh diakses bila-bila masa.

Pegawai Daerah Tutong yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Pegawai Daerah Tutong yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Taklimat mengenainya telah disampaikan oleh Pegawai Kewangan dari bahagian berkenaan, Lim Sei Kee yang antara lain menjelaskan perbezaan di antara jenis-jenis perniagaan seperti Perniagaan Tunggal, Perkongsian, Syarikat (Sdn. Bhd) sebelum membuat pendaftaran.

Ini adalah untuk memberi maklumat lanjut dan kesedaran tentang perbezaan dari segi aspek syarat keperluan, liabiliti dan peraturan-peraturan bagi setiap jenis-jenis perniagaan tersebut.

Pegawai dari Bahagian Perolehan, Pengiran Haji Abdul Azim bin Pengiran Mohd Hassan turut menyampaikan taklimat berhubung kepentingan menyimpan rekod-rekod perniagaan dengan teratur selaras dengan Perintah Penyimpanan Rekod-rekod (Perniagaan), 2015.

Penyimpanan rekod-rekod perniagaan tersebut akan membantu peniaga-peniaga membuat perancangan kewangan yang teratur, membuat keputusan kewangan bagi perniagaan, dan menarik pelabur-pelabur yang berpotensi.

Menurut kenyataan itu, taklimat seumpamanya juga telah diadakan di daerah Temburong dan Belait, serta akan dilaratkan ke Daerah Brunei dan Muara.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman sesawang, www.mof.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA