Dagang FC musnahkan harapan PESEJA FC

Dagang FC musnahkan harapan PESEJA FC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Dagang FC meranapkan impian kemaraan PESEJA United FC ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 apabila mengejutkannya 5-2 di perlawanan terakhir Kumpulan A dan peringkat kumpulan bagi liga berkenaan.

Atas kertas PESEJA United FC yang mencatat dua kemenangan berturut-turut sebelum ini dilihat akan mudah menempah tiketnya ke pusingan kedua liga itu dengan menjinakkan Dagang FC yang sebelum ini tewas keempat-empat perlawanannya tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

PESEJA United FC yang sebelum perlawanan penting itu sudah mengumpul tujuh mata perlu meraih tiga mata di perlawanan terakhirnya itu untuk memintas IKERAB FC (sembilan mata) di tangga kedua, maka kegagalannya itu menjadi rahmat buat IKERAB FC, yang ternyata menarik nafas lega mara ke pusingan kedua liga.

PESEJA United FC dalam laluan kemenangan apabila sudah awal mendahului 1-0 menerusi jaringan Haji Mohd Faiz Fakhri bin Haji Damit pada minit ke-3, namun semangat pemain Dagang FC yang mahu menyudahkan kempen mereka kali ini dengan kemenangan berjaya mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Alif pada minit ke-7.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu Alif kemudian meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-27 untuk membawa Dagang FC mendahului 2-1 dan 10 minit kemudian Dagang FC semakin selesa mendahului 3-1, kali ini disumbangkan oleh Awangku Mohd Faez Hafiyuddin.

Dagang FT kejutkan PESEJA United FC 5-2 untuk catat kemenangan tunggalnya dalam Kumpulan A.
Dagang FT kejutkan PESEJA United FC 5-2 untuk catat kemenangan tunggalnya dalam Kumpulan A.

PESEJA United FC semakin tertekan pada separuh masa kedua apabila masih gagal membolosi pertahanan lawan, sebaliknya pada minit ke-85 Dagang FC pula mendapat gol keempatnya untuk mendahului 4-1, yang dijaringkan oleh Alif untuk hatriknya.

Pada masa kecederaan iaitu pada minit ke-90+2, Awang Azimannuddin berjaya meraih gol kedua buat PESEJA United FC tetapi dua minit kemudian Awang Mohd Eyith memastikan tiada keajaiban berlaku untuk PESEJA United FC dengan ledakan golnya sekaligus memuktamadkan perlawanan pada kedudukan tidak terduga, 5-2.

Dengan berakhirnya peringkat kumpulan bagi Kumpulan B berkenaan, maka IKERAB FC perlu berterima kasih kepada Dagang FC kerana membuatkannya layak selaku naib juara Kumpulan A, mengiringi MSN United FC yang mara selaku juara kumpulan dengan 11 mata.

Empat lagi pasukan yang sudah awal mara selaku ‘Dua Pasukan Terbaik’ kumpulan masing-masing ialah Al-Idrus Junior dan Seri Bolkiah FC dari Kumpulan B, serta DSP United dan Plan Batu dari Kumpulan C.