Dagang Net sasar sumbangan 10 peratus

Dagang Net sasar sumbangan 10 peratus

KUALA LUMPUR, 30 Jun  (Bernama) – Anak syarikat Dagang NeXchange Bhd, Dagang Net Technologies Sdn Bhd yang menguruskan platform dalam talian Global Halal Exchange (GHE) menyasar 10 peratus sumbangan kepada pendapatan kumpulan dalam masa lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Zulina Mohammed Salleh berkata, pada masa ini, sumbangan kepada kumpulan masih kecil berikutan operasi GHE yang baharu setahun jagung.

GHE, yang dilancarkan tahun lepas masih dalam proses penambahbaikan model perniagaan dan bakal mengenalkan lapan sektor utama bagi platform itu pada suku keempat tahun ini.

Antara sektor itu ialah makanan dan minuman, logistik, media, farmaseutikal, pelancongan, kewangan Islam, kosmetik dan fesyen, kata Zulina selepas menandatangani perjanjian bersama Al Ansar Health Sdn Bhd.

Al Ansar, yang terlibat dalam industri perubatan alternatif menjadi syarikat pertama yang berjaya dimuktamadkan di bawah sektor farmaseutikal.

“Kita juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat lain yang berminat untuk bekerjasama dengan kami. Lebih banyak pengumuman akan dibuat menjelang suku keempat apabila kita merancang untuk mempunyai lebih banyak perkhidmatan,” kata Zulina.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Al Ansar Health, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, langkah pengembangan perniagaan menerusi platform dalam talian GHE membolehkannya memanfaatkan akses kepada pasaran gaya hidup Muslim yang dianggarkan bernilai AS$2.5 trilion.

“Kita mempunyai 15 cawangan di Malaysia dan kini dalam proses pengembangan ke luar negara. Dengan perjanjian ini, pertumbuhan syarikat akan lebih cepat daripada yang kita jangkakan,” kata Muhamad Khanafi.

Sehubungan itu, syarikat menjangka jualan akan bertambah 20 peratus kepada RM13 juta pada akhir tahun ini.

Tahun lalu, syarikat itu meraih jualan RM11 juta dengan jualan produk perubatan alternatif di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA