Dagangan Brun...

Dagangan Brunei-Korea naik berlipat ganda

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Sejak penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea pada 1984, hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara terus berkembang dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan kebudayaan.

Setiausaha Agung Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea, Ryu Jeong-Hyun berkata, dari segi sektor ekonomi, jumlah dagangan di antara Brunei dan Korea telah meningkat kira-kira lapan kali ganda kepada AS$1.2 bilion sejak penubuhan hubungan diplomatik itu.

Brunei dengan sumber aslinya, telah menjadi rakan penting Korea bagi kerjasama tenaga dan jumlah syarikat-syarikat Korea yang berminat untuk mengambil bahagian dalam projek pembinaan di Brunei juga meningkat yang menunjukkan masa depan cerah bagi kerjasama ekonomi masa depan di antara kedua-dua buah negara, katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam di Jalan Kebangsaan, hari ini.

Menurut Ryu, satu perkara yang penting adalah jumlah pelancong Brunei yang berkunjung ke Korea telah meningkat kepada seramai 2,300, manakala itu, jumlah pelancong Korea yang berkunjung ke Brunei pada 2015 ialah kira-kira 8,000 orang.

Beliau percaya bahawa pertukaran di antara rakyat dan penduduk kedua-dua buah negara akan terus berkembang dengan pembukaan semula laluan penerbangan langsung ke ibu negara kedua-dua buah negara, baru-baru ini.

“Saya percaya bahawa pertukaran di antara penduduk dan rakyat kedua-dua buah negara ini, akan menjadi asas bagi mempromosikan kesefahaman bersama di antara rakyat negara kita.”

Beliau berkata, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Korea semasa ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik Brunei-Korea telah menjana momentum yang kuat bagi kerjasama dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Hubungan dua hala itu akan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi lagi termasuk dalam kerjasama sekuriti apabila kerajaan kedua-dua buah negara bersedia untuk memeterai Memorandum Persefahaman bagi Kerjasama Pertahanan.

Menyentuh mengenai pencapaian ASEAN, Ryu berkata, 2017 menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN dan dalam hubungan itu, beliau menyatakan tahniah kepada ASEAN di atas pelbagai pencapaiannya dan perkembangan yang dicapai selama tempoh lima dekad termasuk pelancaran Komuniti ASEAN.

Beliau yakin bahawa ASEAN akan mempunyai masa depan yang lebih cerah dan percaya bahawa Setiausaha Agung ASEAN dari Negara Brunei Darussalam pada 2018 nanti akan memainkan peranan untuk membimbing dan membuka bab yang baru bagi ASEAN.

Pada masa yang sama, beliau berharap kerjasama ASEAN-Republik Korea terutama dengan Brunei akan diperkukuhkan lagi, terutama apabila Brunei akan menjadi negara penyelaras pada 2019 di mana ASEAN dan Korea akan meraikan ulang tahun kerjasama Dialog ASEAN-ROK ke-30.

Beliau juga percaya dengan adanya Bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam, ia akan memainkan peranan penting sebagai pelopor untuk mengukuhkan kerjasama dan komunikasi di antara kedua-dua buah negara serta menyediakan pusat bagi penduduk Brunei untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai budaya Korea dan bagi penduduk Korea untuk mempelajari mengenai Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA