Dagangan Januari-April cecah RM459.02 bilion

Dagangan Januari-April cecah RM459.02 bilion

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) – Jumlah dagangan Malaysia bagi tempoh Januari-April 2015 bernilai RM459.02 bilion berbanding RM473.12 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, dengan lebihan dagangan bernilai RM28.23 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam kenyataannya hari ini berkata mengikut perangkaan perdagangan luar Malaysia, eksport dalam tempoh itu bernilai RM243.62 bilion manakala import berjumlah RM215.4 bilion.

“Trend yang sama juga direkodkan dalam dagangan dengan ekonomi lain di seluruh Asia. Prestasi eksport antara Januari-April 2015 sebahagian besarnya terjejas disebabkan eksport minyak sawit dan produk berasaskan petroleum yang lebih rendah seperti produk petroleum bertapis, gas asli cecair dan petroleum mentah,” kata Miti dalam kenyataan itu.

Secara kolektif, produk terbabit mencatat penurunan dalam nilai eksport sebanyak RM17.83 bilion.