Dagangan Julai menurun sebanyak 14.9 peratus

Dagangan Julai menurun sebanyak 14.9 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi bulan Julai 2015 menurun sebanyak 14.9 peratus bernilai $994.0 juta yang terdiri daripada $647.4 juta bagi eksport dan import ($346.6 juta).

Imbangan perdagangan juga menurun bulan-kebulan sebanyak 4.2 peratus kepada $300.8 juta.

Menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi Julai 2015 yang dikeluarkan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, eksport barangan bagi bulan Julai 2015 menurun daripada $740.8 juta kepada $647.4 juta disebabkan penurunan dalam eksport utama negara iaitu minyak mentah dan LNG.

Eksport minyak mentah mencatatkan penurunan sebanyak 27.9 peratus berikutan penurunan dagangan isi padu minyak mentah dari 129.17 kbbl sehari (Jun 2015) kepada 97.6 kbbl sehari pada Julai 2015.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, purata harga eksport minyak mentah juga menurun dari AS$64.41/bbl (Jun 2015) kepada AS$58.91/bbl pada Julai 2015 manakala nilai eksport LNG menurun sebanyak 2.6 peratus.

Ini adalah disebabkan penurunan dagangan isi padu LNG daripada 1,011,251 MMBtu sehari (Jun 2015) kepada 887,420 MMBtu sehari pada Julai 2015.

Kenyataan media itu turut berkata pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 28.3 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Republik Korea (23.5 peratus), India (15.2 peratus) dan Indonesia (7.7 peratus).

Sementara itu import barangan menurun sebanyak 18.8 peratus daripada $426.7 juta (Jun 2015) kepada $346.6 juta pada bulan Julai 2015. Ini adalah disebabkan oleh penurunan dalam import Bahan Api Galian (57.7 peratus), Minuman dan Tembakau (31.3 peratus) dan Makanan (24.4 peratus).

Import terbesar adalah dari Negara Malaysia sebanyak 22.6 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Singapura (16.3 peratus), China (14.2 peratus) dan Jepun (11.4 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan “General System” bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Kenyataan itu berkata laporan penuh IMTS bagi bulan Julai 2015 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA