Dagangan Jun naik 5.6%, bernilai $1,167.5 juta

Dagangan Jun naik 5.6%, bernilai $1,167.5 juta

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi bulan Jun2015 meningkat sebanyak 5.6 peratus bernilai $1,167.5 juta yang terdiri daripada $740.8 juta bagi eksport dan import ($426.7 juta).

Imbangan perdagangan juga meningkat bulan-ke-bulan sebanyak 7.8 peratus kepada $314.1 juta.

Menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi Jun 2015 yang dikeluarkan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, eksport barangan bagi bulan Jun 2015 meningkat daripada $698.5 juta kepada $740.8 juta disebabkan peningkatan dalam eksport utama negara iaitu minyak mentah dan LNG.

Eksport minyak mentah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus berikutan peningkatan dagangan isi padu minyak mentah dari 117.58 kbbl sehari (Mei 2015) kepada 129.17 kbbl sehari pada Jun 2015.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, purata harga eksport minyak mentah menurun dari AS$66.79/bbl (Mei 2015) kepada AS$64.41/bbl pada Jun 2015 manakala nilai eksport LNG meningkat sebanyak 5.6 peratus.

Ini adalah disebabkan peningkatan dagangan isi padu LNG daripada 882,638 MMBtu sehari (Mei 2015) kepada 1,011,251 MMBtu sehari pada Jun 2015.

Kenyataan media itu turut berkata pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 27.5 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Taiwan (15.7 peratus), Thailand (10.9 peratus) dan republik Korea (9.6 peratus).

Sementara itu import barangan meningkat sebanyak 4.8 peratus daripada $407.0 juta (Mei 2015) kepada $426.7 juta pada bulan Jun 2015. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan dalam Import Pelbagai Urus niaga (100.0 peratus), Bahan Api Galian (42.6 peratus) dan Bahan-bahan Mentah Yang Tidak Boleh dimakan (34.2 peratus).

Import terbesar adalah dari negara Malaysia sebanyak 23.7 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Singapura (14.8 peratus), Jepun (14.7 peratus) dan China (11.7 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan “General System” bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Kenyataan itu berkata laporan penuh IMTS bagi bulan Jun 2015 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA