Dagangan Malaysia pada Oktober meningkat

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2017 melonjak 19.8 peratus kepada RM154.26 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.

Perdagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat, Hong Kong, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan berkenaan, katanya.

“Eksport pada Oktober 2017 tumbuh 18.9 peratus kepada RM82.41 bilion, melebihi RM80 bilion buat kali ketiga ketiga pada 2017, manakala import naik 20.9 peratus kepada RM71.85 bilion.

“Lebihan dagangan meningkat kepada RM10.56 bilion, nilai tertinggi dicatatkan sejak April 2016, merupakan yang ke-240 bulan berturut-turut sejak November 1997,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kedua, kiri) semasa pelancaran pada Majlis Perasmian Trend Pertukaran Usahawan Next di MITI hari ini. – Bernama

Sementara itu, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import, masing-masing berkembang 4.3 peratus, 5.3 peratus dan 3.2 peratus, katanya.

Menurut MITI, jumlah perdagangan pada sepuluh bulan pertama 2017 berjumlah RM1.46 trillion, berkembang 21.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016, dengan eksport berjumlah RM772.66 bilion, naik 21.1 peratus manakala import pada RM692.51 bilion, meningkat 21.9 peratus.

Lebihan dagangan bernilai RM80.15 bilion, naik 14.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport barangan perkilangan pada Oktober 2017, kata MITI, meningkat 19.5 peratus atau RM11.11 bilion kepada RM68.07 bilion, menyumbang 82.6 peratus jumlah eksport Malaysia. – Bernama