Dagangan Malaysia, Yunnan cecah AS$173 juta

Dagangan Malaysia, Yunnan cecah AS$173 juta

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Jumlah perdagangan Malaysia dengan wilayah Yunnan, China bagi separuh pertama 2016 mencecah AS$173 juta (AS$1.00=RM4.13) dengan produk utamanya berasaskan pertanian dan komoditi.

Sejajar prestasi itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata kerajaan berminat untuk meningkatkan lagi dagangan dengan Yunnan, terutama industri pelancongan selain menarik lebih banyak pelaburan dari wilayah itu.

“Saya berharap mereka melihat Malaysia sebagai gerbang untuk melabur khususnya di negara-negara ASEAN yang mempunyai lebih 600 juta penduduk, memandangkan Malaysia menjalin hubungan amat baik dengan China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perdagangan China-Malaysia selama sehari anjuran Persatuan Kerjasama Ekonomi dan Galakan Perdagangan Antara Yunnan, Asia Tenggara dan Asia Selatan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Chua berkata sasaran Malaysia dan China untuk meningkatkan perdagangan kepada AS$160 bilion menjelang 2017 mungkin sukar dicapai berikutan kemerosotan perdagangan antarabangsa serta kelembapan ekonomi China.

Malah, katanya, Pertubuhan Per-dagangan Dunia (WTO) turut menurun-kan unjuran pertumbuhan perdagangan dunia tahun ini kepada satu hingga dua peratus berbanding unjuran awal seba-nyak dua hingga tiga peratus.

“Ini menunjukkan bukan Malaysia sahaja yang mengalami kemerosotan eksport tetapi negara-negara lain turun menerima kesan kelembapan ekonomi dunia,” katanya. – Bernama