Dagangan melalui TPPA mampu lepasi RM2 Trilion

Dagangan melalui TPPA mampu lepasi RM2 Trilion

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Jumlah dagangan Malaysia dijangka melepasi RM2 trilion berikutan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, faedah segera TPPA itu akan terbukti dengan kemasukan pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai satu daripada platform dagangan dan pelaburan mereka.

“Pemeteraian TPPA akan merangsang sentimen dan mewujudkan keyakinan di kalangan pelabur,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi dagangan negara untuk 2015 di sini, Jumaat.

Semalam, Malaysia dan 11 negara lain menandatangani TPPA yang akan mengembangkan pasaran, mengurangkan tarif serta mempromosi dagangan lebih bebas.

Dua belas negara dalam TPPA itu ialah New Zealand, Australia, Chile, Mexico, Jepun, Peru, Kanada, Vietnam, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Malaysia.

Majlis menandatangani TPPA itu diadakan di Auckland, New Zealand dan ia akan menyumbang hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai US$30 trilion (RM126 trilion). – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA