Dagangan M’sia-Iran jangka meningkat tahun ini

Dagangan M’sia-Iran jangka meningkat tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Langkah pembatalan sekatan ekonomi terhadap Iran dijangka mampu melonjakkan dagangan dua halanya dengan Malaysia selain memberi peluang kepada usahawan tempatan mempelbagaikan usaha mereka selain produk berasaskan minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud memberitahu Bernama baru-baru ini, hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Iran merosot pada tahun lepas berikutan import produk petroleum oleh Iran yang rendah serta isu pembayaran bagi eksport Malaysia.

Sebahagian besar import Malaysia dari Iran adalah minyak mentah serta bitumen.

Sehubungan itu, kata Dzulkifli, Matrade akan terus merangka misi lawatan perdagangan ke Iran yang memiliki pasaran kira-kira 70 juta pengguna.

“Kita perlu melihat jauh dan melangkaui minyak sawit semata-mata kerana segmen komoditi ini ada turun naiknya manakala sektor atau produk lain seperti bahagian peralatan mesin dan komponen tidak terdedah kepada ketidaktentuan ini,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah eksport Malaysia ke Iran susut sebanyak 10.6 peratus kepada RM1.95 bilion pada 2015 berbanding RM2.18 bilion pada 2014.

Jumlah import tahun lepas pula berkurangan sebanyak 25.6 peratus kepada RM139.5 juta berbanding RM187.4 juta pada tahun sebelumnya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA