Dagangan negara bagi April naik 2.9 peratus

Dagangan negara bagi April naik 2.9 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Bagi bulan April 2015, Jumlah Perdagangan negara bagi bulan April 2015 meningkat sebanyak 2.9 peratus bernilai $1,186.6 juta yang terdiri daripada eksport ($836.7 juta) dan import ($349.9 juta).

Imbangan perdagangan juga meningkat bulan-ke-bulan sebanyak 3.2 peratus kepada $486.8 juta, demikian menurut perangkaan perdagangan barangan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Menurut JPKE, eksport barangan bagi bulan April 2015 meningkat daripada $812.2 juta kepada $836.7 juta disebabkan peningkatan dalam eksport utama negara iaitu minyak mentah dan LNG.

Eksport minyak mentah mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus berikutan peningkatan dagangan isi padu Minyak Mentah daripada 122.45 kbbl sehari (Mac 2015) kepada 129.49 kbbl sehari pada April 2015.

Peningkatan purata harga eksport minyak mentah daripada AS$58.68/bbl (Mac 2015) kepada AS$62.21/bbl pada April 2015 juga menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah eksport minyak mentah.

Nilai eksport LNG juga meningkat sebanyak 18.9 peratus. Ini adalah disebabkan peningkatan dagangan isi padu LNG daripada 772,234 MMBtu sehari (Mac 2015) kepada 1,131,860 MMBtu sehari (April 2015).

JPKE berkata, pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 32.9 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Republik Korea (18.9 peratus), Thailand (18.3 peratus) dan Taiwan (12.1 peratus).

Import barangan juga meningkat sebanyak 2.8 peratus daripada $340.4 juta (Mac 2015) kepada $349.9 juta pada bulan April 2015. Ini disebabkan oleh peningkatan dalam import pelbagai barang keluaran kilang (40.0 peratus), barang–barang keluaran kilang (11.6 peratus), dan minyak dan lemak Binatang dan sayur-sayuran (7.7 peratus).

Import terbesar adalah dari Malaysia sebanyak 22.6 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh China (14.4 peratus) dan Singapura (13.2 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan “General System” bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi April 2015 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA