Dagangan negara bagi Mei susut 6.8 peratus

Dagangan negara bagi Mei susut 6.8 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Jumlah perdagangan negara bagi bulan Mei 2015 menurun sebanyak 6.8 peratus bernilai BND1,105.5 juta yang terdiri dari eksport (BND698.5 juta) dan import (BND407.0 juta).

Imbangan Perdagangan juga menurun bulan-ke-bulan sebanyak 40.1 peratus kepada BND291.5 juta, demikian menurut statistik perdagangan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Menurut perangkaan tersebut, eksport barangan bagi bulan Mei 2015 menurun daripada BND836.7 juta kepada BND698.5 juta disebabkan penurunan dalam eksport utama negara iaitu Minyak Mentah dan LNG.

Eksport Minyak Mentah mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus berikutan penurunan dagangan isi padu Minyak Mentah dari 129.49 kbbl sehari (April 2015) kepada 117.58 kbbl sehari pada Mei 2015. Purata harga eksport minyak mentah meningkat dari AS$62.21/bbl (April 2015) kepada AS$66.79/bbl pada Mei 2015. Nilai eksport LNG juga menurun sebanyak 29.2 peratus.

Ini disebabkan penurunan dagangan isi padu LNG daripada 1,131,860 MMBtu sehari (April 2015) kepada 882,638 MMBtu sehari (Mei 2015).

Penurunan dalam purata harga eksport LNG dari AS$10.64/MMBtu (April 2015) kepada AS$9.33/MMBtu (Mei 2015) juga menyebabkan penurunan dalam nilai eksport LNG.

Menurut JPKE, pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 29.0 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Republik Korea (18.2 peratus), India (15.4 peratus) dan New Zealand (11.7 peratus).

Import barangan meningkat sebanyak 16.3 peratus daripada BND349.9 juta (April 2015) kepada BND407.0 juta pada bulan Mei 2015. Ini disebabkan oleh peningkatan dalam import Bahan–Bahan Kimia (58.8 peratus), Minyak dan Lemak Binatang dan Sayur-Sayuran (57.1 peratus) and Bahan Api Galian (50.8 peratus).

Import terbesar adalah dari negara Malaysia sebanyak 21.8 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Jepun (12.2 peratus), China (11.4 peratus) dan Singapura (11.0 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan “General System” bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi Mei 2015 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA