Dagangan Nov. naik 2.3 peratus

Dagangan Nov. naik 2.3 peratus

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Jumlah perdagangan bagi November 2015 telah meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada $990.0 juta yang terdiri daripada eksport ($649.0 juta) dan import ($341.0 juta).

Manakala, Imbangan Perdagangan pula meningkat bulan-kebulan sebanyak 8.6 peratus kepada $308.0 juta, demikian menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Berdasarkan perangkaan itu lagi, eksport barangan bagi November 2015 meningkat daripada $625.8 juta kepada $649.0 juta, juga disebabkan peningkatan dalam eksport utama negara iaitu LNG yang mencatatkan peningkatan sebanyak 31.9 peratus, berikutan peningkatan dagangan isi padu LNG daripada 702,758 MMBtu sehari (Oktober 2015) kepada 957,411 MMBtu sehari (November 2015).

Bagaimanapun, purata harga eksport LNG menurun daripada AS$9.88/MMBtu (Oktober 2015) kepada AS$9.76/MMBtu pada November 2015.

Manakala itu, nilai eksport minyak mentah pula menurun sebanyak 14.1 peratus, disebabkan penurunan dagangan isi padu minyak mentah daripada 123.07 kbbl sehari (Oktober 2015) kepada 114.88 kbbl sehari pada November 2015.