DagangHalal dalam proses penyenaraian LSE

DagangHalal dalam proses penyenaraian LSE

SINGAPURA, 29 Mac (Bernama) – DagangHalal merancang untuk mengumpulkan kira-kira empat juta pound (RM24 juta) melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Saham London (LSE).

DagangHalal merancang untuk disenaraikan di AIM, pasaran antarabangsa LSE bagi syarikat-syarikat kecil yang berkembang.

“Kami berusaha keras untuk membolehkan saham kami diapungkan. Kami berada dalam peringkat terakhir dan sekarang ini, semuanya terletak kepada Bursa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Hazli Mohamed Hussain dalam satu temu bual telefon baru-baru ini dengan Bernama.

Ketika ditanya kemungkinan tarikh penyenaraian yang baharu memandangkan tarikh akhir pada Mac akan tamat, beliau berkata perkara tersebut adalah di luar kawalan DagangHalal.

“Tetapi kami berada di landasan yang betul untuk penyenaraian,” katanya.

AIM merupakan pasaran pertumbuhan yang paling berjaya di dunia dan sejak ia dilancarkan pada tahun 1995, lebih daripada 3,600 syarikat global memilih untuk menyertainya.

Laman web LSE menunjukkan terdapat empat syarikat baharu yang bakal disenaraikan mulai hari ini sehingga 31 Mac. DagangHalal bukan di kalangan mereka.

Syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu mempunyai matlamat untuk menjadi sebagai satu platform bagi memudahkan umat Islam di seluruh dunia mencari dan menggalakkan produk berkualiti serta perkhidmatan yang halal.

Ia memperkenalkan Pengurus Perdagangan Halal yang pertama dan inovatif, yang merupakan alat pengurusan perdagangan bagi menghubungkan semua peniaga, produk serta perkhidmatan Halal dengan pasaran pengguna Islam di seluruh dunia sebanyak 1.8 bilion.

Mohamed Hazli berkata DagangHalal sekarang ini menjalankan kerjasama eksklusif dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), untuk membangunkan industri halal global.

Katanya, hanya pembekal yang memiliki status Halal Yang Disahkan sahaja yang dibenarkan untuk menyertai DagangHalal bagi memastikan ketulenan mereka sebagai penjual.

Halal yang disahkan adalah status yang diberikan kepada peniaga-peniaga yang mendapat Sijil Halal daripada JAKIM dan 52 badan yang berkaitan dengan pengesahan tersebut.

Kategori makanan halal DagangHalal terdiri daripada minuman, roti, biskut pastri, produk tenusu, bahan tambahan makanan, makanan sejuk beku, produk madu, daging, ayam sehingga kepada agensi perundingan dan perkhidmatan.

Pakar-pakar pemasaran menganggarkan segmen halal mempunyai nilai sebanyak AS$2.1 trilion dan berkembang sebanyak AS$500 bilion setahun.

DagangHalal akan menjadi tuan rumah kepada pasar raya halal yang pertama di pameran perdagangan Makanan & Hotel Asia 2016 yang akan diadakan di sini selama lima hari bermula 12 April.

Mohamed Hazli berkata peserta akan mendapat sumber bagi kandungan dan bekalan halal dari seluruh dunia serta Malaysia.

Untuk membuat transaksi, pembeli dan penjual boleh mengakses www.daganghalal.com.

ARTIKEL YANG SAMA