Daging, rambut manusia ditemui dalam perut Beruang

Daging, rambut manusia ditemui dalam perut Beruang

TOKYO, 14 Jun (AFP) – Daging manusia dan rambut ditemui dalam perut seekor beruang yang disyaki menyerang sekurang-kurangnya satu daripada empat orang di utara Jepun yang jelasnya meninggal dunia akibat serangan sedemikian, kata pegawai hari ini.

Serangan beruang ke atas manusia bukan sesuatu yang luar biasa di wilayah pergunungan Akita di pulau utama Jepun Honshu, tetapi kejadian yang membawa maut jarang ditemui, dengan hanya lapan kes yang dicatat dari tahun 1979 sehingga tahun lalu.

Bagaimanapun, pada bulan lalu, tiga orang lelaki – dua dalam umur tujuh puluhan dan seorang dalam lingkungan umur enam puluhan – meninggal dunia dalam serangan ketika memetik rebung dalam tiga kejadian berasingan di hutan pergunungan.

Mayat mangsa keempat, seorang wanita berusia 74 tahun, ditemui pada Jumaat. Wanita itu dilaporkan telah memetik tumbuhan liar.

Pemburu membunuh seekor beruang 10 meter dari tempat kejadian di mana mayatnya ditemui.

Pegawai wilayah Akita, Hideki Abe ketika memberitahu AFP mayat manusia dan sampel rambut ditemui di dalam perut beruang semalam.

Abe menggambarkan bahagian tubuh badan sebagai ‘daging manusia’, tanpa mengulas lanjut, walaupun menekankan masih perlu dipastikan sama ada beruang tersebut yang bertanggungjawab terhadap kematian wanita itu.

“Dua pertiga daripada perut dipenuhi dengan rebung,” katanya, mencadangkan tidak banyak daging manusia yang mungkin dimakan oleh beruang dan ia bukan satu-satunya beruang yang terlibat dalam serangan.

ARTIKEL YANG SAMA