SEMENYIH, Selangor, 1 Jan (Bernama) – Bukit Broga dekat sini, yang popular dalam kalangan pendaki hujung minggu, penuh sesak pagi ini apabila puluhan pengunjung menyambut tahun baharu dengan bersemangat untuk sampai ke puncaknya.

Ada yang hampa terpaksa pulang separuh jalan kerana mengelakkan kesesakan terlalu ramai yang mahu mendaki bukit setinggi 400 meter itu.

Suri rumah Anis Hanafi, 34, yang mendaki bersama-sama lima rakannya, menganggarkan sehingga 300 orang berada di tempat itu untuk menaiki Bukit Broga pagi ni.

“Memang penuh, sangat-sangat penuh, walaupun kami dah jangka tidak seperti biasa di hujung minggu.

“Mungkin ada yang naik sejak malam tadi lagi untuk lihat bunga api sempena tahun baharu,” katanya yang menjadikan pendakian itu sebagai latihan untuk mendaki Gunung Semeru di Surabaya, Indonesia April ini.

Pelbagai cara dan ragam dilakukan bagi mengalu-alukan ketibaan Tahun Baru 2016. Bagi sekumpulan remaja ini, mereka memilih sesuatu kelainan dengan mendaki ke puncak Bukit Broga di luar ibu kota bagi menghabiskan cuti hujung minggu selain daripada acara beriadah. – Bernama
Pelbagai cara dan ragam dilakukan bagi mengalu-alukan ketibaan Tahun Baru 2016. Bagi sekumpulan remaja ini, mereka memilih sesuatu kelainan dengan mendaki ke puncak Bukit Broga di luar ibu kota bagi menghabiskan cuti hujung minggu selain daripada acara beriadah. – Bernama

Selain menikmati pemandangan yang indah, ramai yang menjadikan pendakian ke puncak bukit itu sebagai azam tahun baharu untuk menghadapi cabaran serta sasaran masing-masing.

“Perasaan gembira sangat, sebab semangat nak kurus tahun 2016 ni,” kata Anis, ibu kepada dua anak itu.

Pelajar Ilani Ihsani, 19, pula terpaksa berhenti separuh jalan kerana begitu ramai orang yang hendak mendaki bukit walaupun keadaan masih gelap ketika beliau menaikinya pada 6.15 pagi.

“Ramai sangat-sangat…dari tempat letak kereta pun dah beratur nak masuk ke kaki bukit.

“Ada yang naik tetapi berhenti separuh jalan dan turun semula sebab hujan,” katanya.