Dakwa dirogol untuk balas dendam

Dakwa dirogol untuk balas dendam

Oleh Fadley Faisal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Seorang wanita tempatan mengaku bersalah di mahkamah hari ini kerana memfailkan tuduhan rogol palsu, dan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman telah menetapkan 23 Januari bagi menjatuhkan hukuman, sementara menimbangkan hukuman yang wajar.

Siti Norain binti Abu Bakar, 22 tahun, memberitahu mahkamah dia terdesak untuk mendapatkan semula tunang dan memfailkan laporan palsu kepada pihak polis pada 12 Januari, pukul 3:21 petang.

Anggota polis wanita di Balai Polis Pusat, tempat laporan difailkan, menjalankan kes itu, yang kemudian diambil alih oleh polis Cawangan Siasatan Jenayah di Unit Penyiasatan Penganiayaan Wanita dan Kanak-kanak.

Senario yang diceritakan oleh tertuduh, ialah bekas tunangnya telah merogolnya di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Simpang Tarap Bau, Kampung Lumapas pada 28 Disember 2015.

Menurutnya, dia dipaksa melucutkan pakaiannya, diserang dan kemudian dirogol oleh bekas tunangnya. Dia juga menuduh penyerang mengancamnya supaya tidak melaporkan kejadian itu pada sesiapa pun.

Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas tertuduh gagal menunjukkan bukti kukuh kecederaan akibat dari dirogol dan polis juga mendapati kenyataannya tidak konsisten.

Tertuduh akhirnya mengaku kepada pihak polis pada 18 Januari bahawa dia telah membuat laporan palsu untuk membalas dendam kepada bekas tunangnya kerana memutuskan hubungan mereka pada awal 2015.

DPP Hajah Rozaimah binti Abdul Rahman tidak membantah keputusan majistret untuk membebaskan tertuduh dengan ikat jamin.

Bagaimanapun bersyarat, termasuklah ikat jamin $1,500 atau dengan seorang penjamin tempatan, melapor kepada polis CID, tidak dibenarkan menemui bekas tunangnya dan mematuhi undang-undang.

ARTIKEL YANG SAMA