Dakwaan 1.5 juta pekerja Bangladesh tidak benar

Dakwaan 1.5 juta pekerja Bangladesh tidak benar

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) – Tanggapan bahawa 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini adalah tidak benar, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Bangladesh yang ditandatangani di Dhaka, Bangladesh semalam langsung tidak menetapkan sebarang angka pekerja yang akan dibawa masuk.

“Jumlah yang akan dibawa masuk bergantung kepada permintaan daripada pihak majikan.

Katakan sebuah syarikat memerlukan 1,000 pekerja, maka syarikat itu akan memohon jumlah pekerja yang diperlukan. Jadi ia bergantung kepada permintaan industri tempatan,” katanya dalam sidang media mengenai pekerja asing, di sini kelmarin.

Katanya angka 1.5 juta itu adalah jumlah pekerja Bangladesh yang berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Seberang Laut negara itu untuk mendapatkan pekerjaan di 139 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Datuk Seri Richard Riot Jaem menunjukan memorandum persefahaman yang beliau tandatangani semasa memberi penjelasan mengenai isu 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini pada sidang media di Kementerian Sumber Manusia kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Richard Riot Jaem menunjukan memorandum persefahaman yang beliau tandatangani semasa memberi penjelasan mengenai isu 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini pada sidang media di Kementerian Sumber Manusia kelmarin. – Bernama

Akhbar tempatan Bangladesh semalam melaporkan Malaysia dan Bangladesh memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membawa masuk pekerja secara berperingkat untuk tempoh lima tahun.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Riot dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Seberang Laut Bangladesh Nurul Islam.

Riot, yang tiba di Malaysia 04:30 pagi kelmarin selepas menandatangani MoU itu, berkata MoU dengan Bangladesh adalah seperti lain-lain MoU mengenai pekerja asing yang ditandatangani Malaysia sebelum ini dengan negara lain.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani tujuh MoU dengan negara sumber tenaga kerja iaitu Indonesia, Thailand, India, Kemboja, Pakistan, Sri Lanka dan Vietnam selain daripada Bangladesh, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA