Dakwaan isteri PM terima sejumlah wang kini disiasat

Dakwaan isteri PM terima sejumlah wang kini disiasat

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) – Pasukan Petugas Khas kini menyiasat dakwaan Sarawak Report kononnya isteri perdana menteri Malaysia telah menerima sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya tahun ini.

“Perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh Pasukan Petugas Khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dikendalikan.

“Pasukan Petugas Khas juga ingin menegaskan bahawa siasatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan dengan telus, bebas dan profesional,” menurut kenyataan pasukan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sarawak Report hari ini mendakwa isteri perdana menteri menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.

Pasukan Petugas Khas turut meminta semua pihak supaya tidak mempersoalkan kewibawaan Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mengendalikan tugas dan fungsi mereka dalam siasatan berkenaan dakwaan dana disalurkan ke akaun perdana menteri.

“Berhubung pendedahan dalam media yang dikaitkan dengan isu 1MDB, semua pendedahan itu dipandang serius oleh Pasukan Petugas Khas dan siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang berkenaan,” kata pasukan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA