Dakwaan pekerja Islam pegang anjing palsu

Dakwaan pekerja Islam pegang anjing palsu

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Ogos – Dakwaan mengenai pekerja Islam di sebuah pasar raya dilihat memegang dan mengusap badan seekor anjing yang telah menjadi viral dalam media sosial, hari ini, turut mendapat perhatian pihak Jabatan Hal Ehwal Ugama di sini.

Ketua Pegawai Agama, Jabatan Hal Ehwal Ugama Kuala Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu menjelaskan kepada Media Permata, hari ini, bahawa sejurus menerima mesej viral berkenaan, beliau telah bertindak mengarahkan pegawai-pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal untuk membuat pemeriksaan ke pasar raya terbabit.

Menurutnya, pegawai-pegawai dari bahagian berkenaan telah membuat pemeriksaan di kawasan bahagian pengendalian makanan Islam di pasar raya terbabit yang terletak di Kampung Pandan, dan melalui siasatan serta pemeriksaan telah mengesahkan bahawa pekerja-pekerja pemotong daging ayam semuanya orang Islam.

“Pegawai-pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal, turut memeriksa sijil halal dan sebagainya, dan menerusi apa yang dijelaskan oleh pengurus pasar raya tersebut, bahawa kejadian seperti yang disebar luaskan adalah tidak benar,” katanya.

Mesej viral pagi tadi itu menyatakan bahawa pekerja di pasar raya terbabit dilihat memegang dan mengurut-urut badan anjing, kemudian terus masuk ke bahagian pemotongan daging ayam dan membuat kerja memotong daging ayam tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.

Mesej itu juga mendakwa, pekerja di sana memelihara anjing yang dibiarkan keluar masuk ke dalam bahagian memotong ayam dan daging di pasar raya berkenaan.

Sementara itu, Media Permata dalam tinjauannya ke pasar raya terbabit, telah menemui pengawasnya yang menekankan bahawa pihak pengurusan pasar raya itu menegah keras anjing dari dibenarkan masuk ke kawasan dalaman pasar raya. Menurutnya, mereka juga menyediakan kamera litar tertutup di bahagian ruang masuk dan keluar belakang pasar raya berkenaan.

“Jika sekiranya benar, orang yang menyebarluaskan berita itu, melihat kejadian, kenapa dia tidak menegur pekerja yang dikatakan memegang anjing itu, atau terus menghubungi pihak pengurus pasar raya atau terus ambil gambar dan melaporkan kepada pihak agensi berkenaan,” kata pengawas pasar raya tersebut yang turut melahirkan rasa kecewa, atas persepsi tidak sihat yang dilemparkan tanpa usul periksa terlebih dahulu.  Menurutnya lagi, berikutan mesej viral itu, pasar raya mereka telah didatangi oleh pegawai beberapa buah jabatan, seperti Jabatan Hal Ehwal Ugama, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, dan Jabatan Kesihatan Kuala Belait untuk membuat pemeriksaan dan siasatan berkenaan kejadian yang dikhabarkan.

ARTIKEL YANG SAMA