Dakwah dalam penulisan

Dakwah dalam penulisan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Dakwah dalam penulisan adalah satu unsur-unsur efektif dalam usaha penyebaran Syari’at Islam, yang mana ia diguna pakai oleh para ulama dalam setiap tulisan yang mereka hasilkan.

Penulisan dijadikan medan dalam membimbing, mengajar, mendidik manusia ke arah kebaikan, menjawab isu-isu dikemukakan dan apa sahaja bentuk dakwah yang memandu manusia ke jalan mustaqim.

Inilah antara penulisan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz sebagai tokoh da’ie dan mufti yang dihormati, tekan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, semasa membentangkan kertas kerja pada hari kedua Seminar Bicara Tokoh Antarabangsa Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), Johor Bahru, Johor, Malaysia, kelmarin.

Dalam pembentangannya bertajuk Dakwah dalam penulisan: Keistimewaan dalam Karya penulisan Pehin Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz itu, Yang Berhormat Pehin berkata “amr ma’ruf nahi munkar” itu kriteria utama penulisan Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz.

“Fatwa yang dihasilkan oleh Allahyarham itu, bukan sekadar untuk menjawab isu yang disoalkan, bahkan dijadikan terus sebagai ruang untuk membimbing jika dirasakan perlu.

Pengarah Jabatan Mufti Kerajaan Brunei menerima resolusi seminar.
Pengarah Jabatan Mufti Kerajaan Brunei menerima resolusi seminar.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membantangkan kertas kerja.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membantangkan kertas kerja.
Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd Zain turut hadir di seminar itu.
Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd Zain turut hadir di seminar itu.

“Kejayaan menghasilkan penulisan berunsur panduan hukum dan pedoman hidup malahan ada pula yang diwartakan menunjukkan penulisan Allahyarham itu mempunyai kualiti dakwah yang tinggi. Ini karismatik Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz,” katanya.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Rektor Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA), Dr. Nurarfan bin Haji Zainal, dan Ketua Pegawai Istinbad, Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, Dr. Haji Japar bin Haji Maidin.

Masing-masing menyampaikan kertas kerja bertajuk Sumbangan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Dalam Pembangunan Pendidikan Ugama Formal Di Brunei Darussalam dan Fatwa Sumbangan Besar Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz.

Sementara itu, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Pemimpin Berkualiti, Ulama ‘Amil dan Umara berkata, sumbangan Allahyarham khasnya melalui fatwa-fatwanya sangat tinggi nilainya, khasnya dalam menangani permasalahan kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara berdasarkan ajaran agama Islam atas landasan Ahli Sunnah Waljama’ah.

Menurutnya, fatwa, tulisan serta ceramah-ceramah Allahyarham menjadi sandaran, pegangan, rujukan dan panduan bagi menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap lagi sempurna, khususnya dalam pentadbiran negara dan kehidupan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.

Katanya lagi, selama hampir tiga dekad menjalankan tugasnya sebagai Mufti, Allahyarham telah menabur jasa bakti yang cemerlang.

Seminar anjuran bersama kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Negeri Johor Darul Takzim sempena Pemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim, itu berakhir dengan pembentangan dan penyerahan resolusi seminar oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa seminar, Tuan Haji Abdul Mutalip bin Abdul Rahim, kepada wakil Negeri Johor dan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA