Dalami budaya China 10 hari

Dalami budaya China 10 hari

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Seramai 14 orang mahasiswa dari Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam (UBD) bersama dua orang pensyarah UBD akan mengadakan lawatan sambil belajar selama 10 hari ke Republik Rakyat China bermula esok (25 Mei).

Sehubungan itu, sebelum berlepas meninggalkan negara, rombongan berkenaan telah membuat lawatan ke Kedutaan Republik Rakyat China di Jalan Muara, hari ini.

Pemangku Pengarah Pusat Bahasa UBD, Dayang Suciyati binti Haji Sulaiman ketika ditemu bual di kedutaan berkenaan memberitahu lawatan ke kedutaan tersebut bertujuan untuk menyampaikan sendiri ucapan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan, yang mana lawatan sambil belajar para mahasiswa dan mahasiswi Pusat Bahasa UBD ke China ini merupakan yang julung-julung kalinya diadakan dengan ditaja penuh oleh pihak kedutaan.

Semasa lawatan itu, para mahasiswa dan mahasiswi berkenaan mendengarkan sedikit sebanyak nasihat dan sokongan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian.

Dalam ucapan ringkas beliau, Puan Yang Terutama mengucapkan tahniah kepada para mahasiswa dan mahasiswi yang terpilih untuk menyertai lawatan sambil belajar berkenaan, kerana untuk menyertai lawatan tersebut bukannya mudah, hanya mereka yang benar-benar terpilih dan layak sahaja.

Para mahasiswa UBD dan pensyarah bergambar ramai bersama pihak kedutaan China.
Para mahasiswa UBD dan pensyarah bergambar ramai bersama pihak kedutaan China.

Tujuan lawatan sambil belajar berkenaan adalah untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta belajar lebih mendalam mengenai budaya China malah para peserta akan dapat memahirkan subjek bahasa yang diceburi iaitu Bahasa Cina.

Salah seorang peserta, Awang Nur Muhammad Afnan Asnawi bin Haji Afnan yang merupakan mahasiswa Pusat Bahasa UBD berkata, sepanjang lawatan itu mereka berharap dapat mengetahui lebih mendalam mengenai budaya-budaya di China di samping itu, dapat memperbaiki lagi kemahiran bertutur dalam Bahasa Cina.

Antara aktiviti sepanjang keberadaan di China nanti ialah membuat lawatan ke universiti-universiti, pertukaran pelajar dan banyak lagi.

Dengan adanya sokongan daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China dan Persatuan Rakyat China akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

Lawatan sambil belajar ini juga diharapkan akan dapat mempromosikan budaya masing-masing di antara kedua-dua buah negara.

Sepanjang berada di Republik Rakyat China, rombongan bukan saja akan mengadakan lawatan ke Shanghai, Shenzhen dan Beijing namun turut dibawa melawat ke Makam Sultan Abdul Majid Hassan di Nanjing dan beberapa buah tempat bersejarah.

ARTIKEL YANG SAMA