Dalami ‘ilmu Blues’ daripada Essien

Dalami ‘ilmu Blues’ daripada Essien

LONDON, 22 Nov (Agensi) – Abdul ‘Baba’ Rahman mengakui berdepan kesukaran untuk menghadapi tekanan menyarung jersi Chelsea hinggakan sanggup mendapatkan pertolongan daripada rakan senegara di Ghana dan juga bekas pemain tengah Blues, Michael Essien.

Rahman adalah pemain kedua termahal dibeli Chelsea musim ini selepas dibeli dari Augsburg pada harga awal, 17.7 juta pound.

Namun bek tengah itu mendapati sukar untuk mencetus impak di Stamford Bridge dan hanya diturunkan sebagai kesebelasan utama sebanyak dua kali setakat ini. Essien yang mewakili Chelsea dari 2005 hingga 2013 dan juga pemain antarabangsa Ghana cuba membantunya berdepan detik sukar itu.

“Saya rasa lebih tertekan berada di sini berbanding Augsburg dan Essien banyak membantu saya,” kata Rahman.

“Kempen Chelsea musim ini tidak berjalan lancar tetapi Essien memberitahu saya untuk terus bermain dan cuba memperbaiki mutu permainan. Essien tahu mengenai kedatangan saya ke Chelsea musim panas ini. Dia banyak membantu saya. Dia banyak memberi nasihat sejak saya menyertai kelab ini, memberitahu agar terus berjuang dan yakin mampu mencapai kejayaan di sini.

“Saya sentiasa menghubunginya sejak awal musim lagi. Seronok apabila mempunyai seorang rakan seperti Essien yang berminat untuk membantu dan saya beroleh banyak nasihat daripadanya. Dia seorang wira yang hebat di Ghana.”

Pemain berusia 21 tahun itu dianggap antara bek kiri terbaik di kancah Bundesliga musim lalu tetapi masih gagal mengulang pencapaian itu di sini.