Dalami ilmu ekonomi ASEAN

Dalami ilmu ekonomi ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Seramai 700 orang belia dari negara-negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam akan berkongsi pengalaman, mendalami lagi ilmu pengetahuan mereka mengenai dasar-dasar ekonomi negara-negara ASEAN dalam pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN serta pelbagai idea kreatif untuk menjana pembangunan sumber manusia di rantau ASEAN semasa Persidangan #FinanceASEAN yang akan berlangsung selama dua hari, pada 28 dan 29 Ogos nanti di Singapura.

Pada persidangan itu, delegasi seramai enam orang belia dari Negara Brunei Darussalam akan turut serta di mana delegasi itu terdiri daripada lepasan universiti, penuntut universiti dan profesional muda yang cenderung untuk mengetahui mengenai peluang yang terdapat untuk mengembangkan lagi pembangunan sumber tenaga manusia serta inisiatif kepelbagaian ekonomi negara.

Media Permata berpeluang untuk menemu bual empat orang ahli delegasi berkenaan iaitu Awang Fadli Zaini, Dayang Ika Musa, Awangku Zuhairi Khairi bin Pengiran Haji Zulkeffli dan Dayang Rasyidah Ibrahim di Kampung Anggerek Desa, hari ini, di mana mereka semua percaya penyertaan mereka dalam persidangan itu akan menyumbangkan suara golongan belia Brunei dalam isu integrasi ekonomi Brunei ke dalam ASEAN serta mengenali mengenai masalah dan peluang ekonomi yang ada di negara-negara anggota ASEAN yang lain.

Mereka menyatakan lagi, persidangan itu merupakan langkah awal untuk meneroka pasaran ASEAN dari segi peluang-peluang pekerjaan atau peluang perniagaan yang terdapat di rantau ASEAN serta untuk menubuhkan rangkaian hubungan dengan belia lain yang boleh membantu dalam sama-sama meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN.

(Dari kiri) Awangku Zuhairi Khairi, Dayang Rasyidah, Dayang Ika dan Awang Fadli merupakan antara delegasi belia dan profesional muda negara yang akan menghadiri serta menyertai Persidangan #FinanceASEAN pada 28 dan 29 Ogos nanti.
(Dari kiri) Awangku Zuhairi Khairi, Dayang Rasyidah, Dayang Ika dan Awang Fadli merupakan antara delegasi belia dan profesional muda negara yang akan menghadiri serta menyertai Persidangan #FinanceASEAN pada 28 dan 29 Ogos nanti.

Mereka berharap dapat mempelajari mengenai idea atau pendekatan kreatif yang dilaksanakan oleh negara-negara ASEAN lain dalam menangani masalah ekonomi pada masa ini dan berharap juga dapat mengongsi idea mereka yang mungkin dapat membantu menangani masalah yang membelenggu negara ASEAN yang lain.

Perkongsian idea yang baru dan kreatif oleh golongan muda ini, dipercayai mampu untuk memberikan perspektif baru atau kaedah yang lain bagi menangani masalah yang mungkin dihadapi serta untuk membantu pihak yang berkenaan mendapatkan maklum balas terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan dari segi kesannya kepada golongan belia.

Selain itu, persidangan berkenaan akan mengetengahkan seramai 21 orang ahli panel termasuk seorang ahli panel yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewangan iaitu Dr Roman Zytek yang berkhidmat di Kementerian Kewangan, Brunei.

Awang Fadli yang juga akan menjadi salah seorang moderator dalam sesi perbincangan pada persidangan itu nanti, berkata bahawa persidangan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu rantau Asia Tenggara mencapai aspirasi integrasi ekonominya dengan melibatkan penyertaan dan maklum balas daripada golongan belia khususnya graduan universiti, penuntut dan juga profesional muda ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA