Dalami industri cat photocatalytic di Jepun

Dalami industri cat photocatalytic di Jepun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Enam pelajar penyelidikan dari Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Jepun bagi mengadakan lawatan kerja bermula hari ini hingga 18 Mei ini.

Sepanjang lawatan kerja itu nanti, para penyelidik tersebut akan berpeluang untuk menyaksikan sendiri, mempelajari dan memahami mengenai suasana kerja di dalam industri cat photocatalytic.

Rombongan pelajar penyelidikan itu terdiri daripada Dayang Nursyahidah Husna binti Haji Tarip, Dayang Nur Fajrini Matjalina, Haji Muhd Redza bin Haji Hussin, Awang Muhd Amin bin Abu Bakar, Dayang Atiqah binti Muhd Ali dan Awang Mohd Zul Amali.

Sebelum berlepas ke Jepun, bacaan doa selamat dan ucapan selamat berlepas diadakan di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada para penyelidik tersebut ialah wakil-wakil pengurusan kanan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), wakil dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan ahli-ahli keluarga para pelajar penyelidikan berkenaan.

Enam pelajar penyelidikan bergambar ramai bersama wakil dari pihak pengurusan kanan BEDB sebelum berlepas bagi lawatan kerja ke Jepun.
Enam pelajar penyelidikan bergambar ramai bersama wakil dari pihak pengurusan kanan BEDB sebelum berlepas bagi lawatan kerja ke Jepun.

Semasa lawatan kerja itu nanti, para pelajar berkenaan akan melawat ke kilang-kilang PIALEX Technologies, Daikin Industries Limited, Osaka University dan beberapa lokasi menarik termasuk syarikat-syarikat pembinaan, universiti serta stesen kereta api yang menggunakan cat photocatalytic yang dihasilkan oleh PIALEX Technologies.

Dayang Nur Fajrini Matjalina dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata, lawatan kerja itu merupakan peluang keemasan bagi dirinya serta rakan-rakan untuk menimba ilmu pengetahuan yang berguna khususnya dalam bidang penyelidikan cat photocatalytic.

Beliau percaya pengalaman dan ilmu pengetahuan yang diperoleh dapat digunakan untuk memajukan industri itu nanti di Brunei Darussalam.

Katanya, melalui lawatan kerja itu mereka juga akan diberikan pendedahan langsung kepada penghasilan cat photocatalytic, sekali gus akan membantu penyelidikan mereka terutama dalam penghasilan cat photocatalytic yang sesuai untuk kegunaan di Brunei khususnya dengan keadaan iklim negara yang berbeza daripada Jepun.

Dayang Nur Fajrini berkata semasa lawatan kerja itu nanti, mereka juga akan mengadakan lawatan ke beberapa universiti di Jepun dan berharap melalui lawatan itu nanti dapat memulakan usaha bagi menubuhkan peluang-peluang kerjasama di antara universiti di Jepun dan institusi pengajian tinggi di Brunei.

BEBD memperkenalkan Skim Insentif Penyelidikan Brunei (BRISc) pada 2012 yang mana ia bermatlamat menarik minat syarikat-syarikat luar negara untuk melabur di Brunei serta mempromosikan bukan sahaja kegiatan pengeluaran tetapi juga untuk menubuhkan makmal penyelidikan serta mengendalikan kegiatan penyelidikan mereka di Brunei.

Menurut kenyataan BEDB, BRISc berjaya menarik minat syarikat luar negara menggunakan keupayaan dan bakat penyelidikan Brunei dengan pelan jangka panjang untuk menubuhkan perniagaan mereka di Brunei.

Skim itu dibukakan kepada syarikat tempatan dan asing serta mempunyai syarat bagi syarikat-syarikat untuk mengendalikan projek penyelidikan bersama-sama dengan agensi penyelidikan dan universiti-universiti tempatan.

Pixela Corporation adalah syarikat Jepun yang merupakan salah satu syarikat dianugerahkan BRISc yang mana syarikat itu akan mengendalikan penyelidikan selama dua tahun serta membangunkan projek bagi menghasilkan SMART Coat yang merupakan sejenis cat photocatalytic yang menjimatkan tenaga serta mampu memantul kira-kira 85 peratus tenaga suria.

Cat photocatalytic yang menjimatkan tenaga itu boleh digunakan pada pelbagai jenis permukaan seperti atap dan dinding rumah di mana cat itu boleh mengurangkan peningkatan suhu di dalam bilik serta akan mengurangkan jumlah tenaga yang digunakan bagi penghawa dingin.

Pada masa ini, SMART Coat itu sedang dihasilkan khusus bagi iklim Jepun dan Pixela berhasrat menghasilkan SMART Coat ASEAN yang boleh digunakan di pelbagai jenis permukaan sesebuah bangunan.

Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa, projek berkenaan telah bermula pada September 2014 yang mana ia dikendalikan dengan kerjasama UBD.

ARTIKEL YANG SAMA