Dalami ‘Kemaman Template’ tangani banjir

Dalami ‘Kemaman Template’ tangani banjir

KUCHING, 7 Dis – Mesyuarat jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak hari ini diberi taklimat mengenai pelan pengurusan banjir di Kemaman, Terengganu atau dikenali sebagai “Kemaman Template” bagi memastikan setiap pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata Kemaman Template menampilkan modul pengurusan bencana banjir yang lengkap dengan mengambil contoh kesiapsiagaan agensi-agensi pengurusan bencana di Kemaman, Terengganu, sebelum banjir, semasa, dan juga pasca bencana.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji setiap aspek yang diketengahkan oleh modul rujukan itu untuk melihat bagaimana ia boleh diguna pakai di Sarawak, di samping menambah baik atau menaik taraf kemudahan sedia ada untuk diselaraskan dengan kehendak template berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu Alfred Jabu berkata beberapa perkara perlu diambil kira dalam mengguna pakai template itu, seperti saiz negeri Terengganu yang lebih kecil berbanding Sarawak, dan kemudahan komunikasinya yang juga jauh lebih baik.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Ogu Salim Omar, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) Datuk Zaiton Samad dan wakil pejabat daerah Kemaman yang turut serta dalam taklimat di Bilik Gerakan Bencana Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Awal bulan lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Negara di ibu negara dilaporkan berkata kerajaan bersetuju supaya pelan pengurusan banjir di Kemaman, Terengganu dijadikan template khas pengurusan banjir di peringkat nasional.

Sementara itu Alfred Jabu berkata mesyuarat hari ini turut dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa cuaca di seluruh Sarawak dalam tempoh seminggu akan datang, dijangka cukup baik.

Bagaimanapun menurutnya semua agensi yang berkaitan tidak boleh mengambil mudah dan perlu sentiasa diletak dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan sepanjang masa.

Sementara itu Ogu Salim ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata pihaknya sudah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan sejak bulan Oktober lalu, semasa musim tengkujuh biasanya dijangka mulai melanda negara.

Beliau berkata selain anggota tetap seramai 1,300 orang, jabatan itu turut memiliki aset berupa tenaga kerja sukarela menjangkau 850,000 di seluruh negara yang boleh digerakkan pada bila-bila masa untuk membantu dalam melancarkan aspek pengurusan bencana. – Bernama