Dalami sunnah nabi

Dalami sunnah nabi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Dengan tujuan mendedahkan sunnah-sunnah nabi kepada orang ramai, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), petang tadi, telah mengadakan bengkel mengenai adab-adab tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Bengkel bertema ‘Indahnya Tidur Berlandaskan Sunnah’ anjuran Pusat Ilmu Teras KUPU SB itu dihadiri oleh seramai 40 orang murid dari Sekolah Ugama Jerudong, Brunei III.

Menerusi bengkel berkenaan, murid-murid diterangkan mengenai kepentingan tidur berserta adab-adabnya di samping memberi kesedaran kepada para peserta bahawa sunnah Rasulullah perlu diamalkan agar memperoleh syafaat Baginda di akhirat kelak, yang telah disampaikan oleh mahasiswi KUPU SB, Dayang Nur Rasikah binti Mohd Dahani.

Selain itu, para peserta turut menjalankan praktikal adab-adab tidur yang dibantu oleh mahasiswa-mahasiswi KUPU SB.

Pengerusi bengkel, Haji Mohd Shahrullah bin Haji Momin memberitahu media bahawa bengkel ini bertujuan mendedahkan murid-murid akan kekayaan sunnah-sunnah nabi yang boleh dipelajari.

Dayang Nur Rasikah ketika menyampaikan pengertian adab-adab tidur mengikut sunnah nabi.
Dayang Nur Rasikah ketika menyampaikan pengertian adab-adab tidur mengikut sunnah nabi.

Beliau menyatakan harapan, dengan adanya ilmu yang diberikan akan dapat dilakukan sebelum, semasa atau selepas tidur semasa berada di rumah.

“Adalah juga diharapkan agar aktiviti ini akan sedikit sebanyak dapat menjadi batu loncatan bagi para peserta, untuk mula menjadikan sunnah Rasulullah sebagai panduan hidup mereka seharian, khususnya dengan mengamalkan adab-adab tidur yang diajar pada bengkel ini”.

Semoga bengkel ini akan memberi manfaat kepada para peserta bengkel, malahan ilmu-ilmu yang akan mereka perolehi dapat dikongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan sekolah yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA