‘Dalang’ kepu...

‘Dalang’ kepung kafe dibunuh

DHAKA, 6 Jan – Seorang pelampau Islam yang dituduh menjadi salah seorang ketua perancang dalam pengepungan tahun lalu yang membawa maut di sebuah kafe Bangladesh, telah ditembak mati ketika serbuan awal subuh hari ini di Dhaka, menurut pihak polis.

Mayat Nurul Islam Marzan dan seorang lagi pelampau yang disyaki ditemui selepas para pegawai menyerbu sebuah bangunan di kawasan Rayer Bazar bandar itu, seorang jurucakap Polis Metropolitan Dhaka memberitahu AFP.

“Marzan dan sekutunya, Saddam terbunuh dalam pertempuran dengan polis,” kata Inspektor Jeneral Polis A K M Shahidul Haque.

“Marzan adalah komander operasi serangan kafe itu pada Julai lalu. Dia adalah salah seorang ketua perancang serangan itu.”

Selain itu, timbalan pesuruhjaya Yusul Ali memberitahu AFP bahawa pihak polis telah menemui mayat ‘pelampau yang disyaki itu’ bersama-sama Marzan yang berusia kira-kira 30 tahun.

Pasukan keselamatan berdiri di samping mayat pelampau Islam yang disyaki, salah seorang yang dituduh menjadi dalang pengepungan kafe di Bangladesh. – AFP
Pasukan keselamatan berdiri di samping mayat pelampau Islam yang disyaki, salah seorang yang dituduh menjadi dalang pengepungan kafe di Bangladesh. – AFP

Dia adalah ‘salah seorang ketua perancang’ pengepungan di kafe kelas tinggi, Holey Artisan Bakery pada 1 Julai tahun lalu yang mana 18 orang tebusan asing ditembak atau ditetak hingga mati,” tambah Ali lagi.

Mohibul Islam Khan, timbalan ketua unit jenayah cegah pengganasan dan transnasional polis Dhaka, berkata Marzan adalah pelajar bahasa Arab di Universiti Chittagong sebelum dia tercicir dari pembelajarannya dan menyertai cabang kumpulan Jamayetul Mujahideen Bangladesh (IMB), kumpulan pelampau yang wujud di negara itu yang telah dipersalahkan menjadi dalang serangan ke atas kafe itu.

“Bersama-sama Tamim Ahmad Chowdhury, Marzan merancang serangan Gulshan,” katanya, dengan merujuk kepada warga Kanada berketurunan Bangladesh yang disifatkan oleh polis sebagai ketua perancang serangan itu.

Chowdhury terbunuh dalam satu lagi serbuan di luar ibu negara pada Ogos tahun lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA