Dalang skim pelaburan kucing ditahan

Seorang pekerja sebuah kedai haiwan membersihkan sangkar kucing ketika pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing di tiga negeri melibatkan kerugian sebanyak RM1.56 juta dalam serbuan ke atas premis itu yang terletak di Seksyen 14 hari ini. – Bernama

SHAH ALAM, 13 Jan – Polis menahan pemilik dan pengurus sebuah kedai haiwan berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing di tiga buah negeri melibatkan kerugian sebanyak RM1.56 juta sejurus selepas serbuan ke atas premis itu di sini, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial  Bukit Aman SAC S. Sasikala Devi berkata kedua-dua lelaki berumur 55 dan 34 tahun itu berada di premis terbabit semasa serbuan dijalankan dan mereka ditahan ekoran laporan polis oleh 35 mangsa terlibat.

Beliau berkata kedua-dua lelaki tersebut juga dipercayai individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai skim pelaburan kucing berkenaan sejak syarikat itu beroperasi  tahun lepas. (Klik di sini untuk berita lanjut)