Dampingi Al-Quran selalu

Dampingi Al-Quran selalu

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Ramadan merupakan bulan istimewa kerana ganjaran pahala melakukan amal ibadat pada bulan ini dilipatgandakan dan ia juga merupakan bulan di mana satu peristiwa paling bersejarah dalam kalangan umat Islam berlaku apabila Al-Quran diturunkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W.

Peristiwa ini dikenali sebagai Nuzul Al-Quran yang telah berlaku pada 17 Ramadan, membuktikan keesaan Allah S.W.T.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini mengupas mengenai Nuzul Al-Quran, menambah bahawa penurunan Al-Quran ini merupakan salah satu mukjizat agung yang dianugerahkan kepada Rasululllah S.A.W.

Menurut khatib, Al-Quran diturunkan kepada Rasululllah S.A.W secara beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibril A.S selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Khatib seterusnya menjelaskan, ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada Surah Alaq yang mana Al-Quran diturunkan sebagai pegangan, pedoman dan petunjuk buat sekalian manusia supaya hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di akhirat.

“Adalah menjadi kewajipan kita untuk memelihara, menjaga dan mempertahankan kesucian dan kebenarannya hingga ke akhir zaman,” tegasnya.

Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir di samping membacanya juga merupakan satu ibadah dan melaksanakan hukum di dalamnya adalah satu kefarduan.

Khatib seterusnya menjelaskan, beruntunglah orang yang membaca Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan harian tidak kira pada bulan Ramadan atau hari biasa dan lebih baik lagi jika difahami ayat-ayat Al-Quran itu dan diambil pengajaran daripada kandungan dan ajarannya.

“Pada masa ini kemudahan untuk memahami kandungan Al-Quran itu selain daripada berguru ialah dengan membaca kitab-kitab atau buku tafsir yang mudah didapati di samping melalui aplikasi telefon bimbit dan internet daripada laman yang dipercayai,” tambahnya.

Sehubungan itu, Khatib mengingatkan supaya mengambil peluang meraih pahala walaupun sibuk dengan urusan dunia, jangan sesekali lupa atau tidak meluangkan masa membaca Al-Quran walaupun sekadar beberapa ayat dalam sehari.

Sementara bagi orang yang tidak pandai membaca Al-Quran, tambah Khatib, segeralah belajar di mana pada masa ini banyak kemudahan yang telah disediakan untuk mempelajari Al-Quran seperti kelas Al-Quran di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan sebagainya.

Khatib menambah, apa yang penting ialah kemahuan dan keazaman mempelajarinya untuk kebaikan diri sendiri. Di negara kita terutama dalam bulan Ramadan ini, banyak aktiviti keagamaan diadakan seperti program Tadarus Al-Quran, majlis Khatam Al-Quran dan sebagainya yang mana aktiviti seperti ini akan mendorong diri untuk lebih dekat lagi dengan Al-Quran.

“Dengan beradanya kita di bulan Ramadan ini, marilah kita merebut peluang mendampingi Al-Quran, mempelajari dan mendalami ilmu di dalamnya dan diharap aktiviti keagamaan akan terus diadakan bukan saja pada bulan Ramadan tetapi pada bulan-bulan yang lain.

“Ini lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menjadikan Negara Brunei sebagai sebuah Negara Zikir dan negara yang baik, aman dan makmur serta mendapat keampunan daripada Allah S.W.T iaitu Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur,” jelasnya.