Dana bina masjid dilancar hari ini

Dana bina masjid dilancar hari ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Majlis Pelancaran Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam akan berlangsung esok di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas untuk memberi peluang besar dan amat bermakna bagi umat Islam di negara ini bertanam saham di akhirat kelak.

Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd (gambar) berkata, umat Islam di negara setentunya merasa gembira dan bersyukur ke hadrat Allah SWT, serta menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah memperkenankan bagi Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid.

Ketika ditemu bual pada majlis raptai di pusat persidangan, hari ini, beliau berkata, pada majlis pelancaran itu, satu ceramah khas akan disampaikan oleh Ketua Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Dr Haji Japar bin Haji Maidin.

pg02_150604_a

Sehubungan itu, beliau menyeru dan menyarankan kepada orang ramai khasnya rakyat dan penduduk negara ini untuk sama-sama mengambil peluang dan kesempatan keemasan menyumbang kepada tabung dana ini kerana ganjarannya adalah sangat besar.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam; “Barang siapa membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung atau lebih kecil dari itu, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga.”

ARTIKEL YANG SAMA