Dana bina masjid kutip hampir $4 juta

Dana bina masjid kutip hampir $4 juta

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Sebanyak $3,848,655.01 telah berjaya dikutip untuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam setakat ini, menunjukkan bahawa sambutan dan sumbangan serta penerimaan orang ramai terhadap tabung berkenaan sangat menggalakkan.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa sidang media sebelum Majlis Penerimaan Sumbangan Hasil Kutipan SMS bagi tabung dana berkenaan, hari ini.

Lebih $120,919 telah berjaya dikutip daripada SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang julung kalinya diadakan selama 45 hari iaitu sepanjang Jun 2016 hingga 16 Julai 2016.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak $104,507 dikutip menerusi perkhidmatan SMS DST dengan DST sendiri menyumbangkan $10,000, manakala itu, sumbangan menerusi perkhidmatan SMS Progresif Cellular Sdn Bhd pula berjaya mengumpul sebanyak $16,412.

Semasa sidang media yang di Bilik Musyawarah, Tingkat 4, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu, Yang Berhormat Pehin selaku pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana juga menyentuh mengenai perlaksanaan perancangan penggunaan kutipan tabung dana berkenaan.

Menteri Hal Ehwal Ugama semasa sidang media sebelum majlis penerimaan sumbangan hasil kutipan SMS bagi tabung dana berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Ugama semasa sidang media sebelum majlis penerimaan sumbangan hasil kutipan SMS bagi tabung dana berkenaan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, dengan sokongan Majlis Ugama Islam, dan setelah diperkenankan oleh Baginda Sultan, projek pertama daripada hasil kutipan tabung ini adalah pembinaan sebuah masjid di Kampung Tanjung Bunut, iaitu untuk menggantikan Surau Kampung Tanjung Bunut. Projek pembangunan berkenaan sudah lama dirancang.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin telah menerima cek sumbangan hasil kutipan daripada DST yang telah diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dan Progresif diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Dayang Normah binti Ahmad.

Yang Berhormat Pehin turut menerima hasil kutipan daripada sumbangan warga JPM.
Yang Berhormat Pehin turut menerima hasil kutipan daripada sumbangan warga JPM.
Yang Berhormat Pehin menerima hasil kutipan SMS untuk tabung dana pembinaan masjid daripada pihak DST yang diwakili oleh Awang Abdul Lattif.
Yang Berhormat Pehin menerima hasil kutipan SMS untuk tabung dana pembinaan masjid daripada pihak DST yang diwakili oleh Awang Abdul Lattif.
Hasil kutipan SMS daripada Progresif Cellular diserahkan oleh Dayang Normah.
Hasil kutipan SMS daripada Progresif Cellular diserahkan oleh Dayang Normah.

Majlis turut menyaksikan penerimaan sumbangan peribadi daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri berjumlah $4,362.47 yang diserahkan oleh Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Yahya bin Haji Idris.

KHEU dalam kenyataannya menyatakan bahawa umat Islam dan orang ramai berpeluang menyalurkan sumbangan seangkat-angkat hati ke tabung dana berkenaan melalui mekanisme-mekanisme kutipan yang masih lagi berjalan dengan teratur dan sempurna seperti melalui tabung-tabung dana di masjid-masjid seluruh negara secara tetap dan di bangunan-bangunan tertentu iaitu di Bangunan Sumbangsih Mulia.

Selain itu juga menerusi perbankan dalam talian, penyerahan sumbangan terus ke Urus Setia Jabatan Hal Ehwal Masjid, kaedah pemotongan gaji bagi pegawai dan kakitangan kerajaan dan GLC (Government Link Companies) serta beberapa mekanisme lain seperti yang telah digariskan.

ARTIKEL YANG SAMA