Dana Masjid dapat sambutan

Dana Masjid dapat sambutan

Oleh Azaraimy HH

 

TUTONG, 29 Julai – Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid yang bertujuan memberi peluang kepada umat Islam menyumbang dalam pembinaan masjid dan menanam “saham akhirat,” telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Jumlah sumbangan adalah berbagai-bagai, tetapi terdapat individu yang menyumbang dengan jumlah yang besar,” kata Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Mu’izz bin Haji Abdul Razak kepada Media Permata semasa acara Jerayawara Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid yang diselajurkan Ihtifal Aidilfitri bagi warga jabatan berkenaan di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel Kampung Kiudang, Tutong hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sumbangan yang diterima setakat ini, tetapi sekadar berkata, orang ramai boleh menyumbang sekurang-kurangnya $2 kepada tabung itu.

Terdapat pelbagai cara untuk menghulurkan sumbangan, contohnya menerusi kemudahan online yang disediakan oleh BIBD di mana orang ramai boleh memindahkan wang mereka kepada tabung dana berkenaan.

Terdapat juga mereka yang memindahkan wang mereka di kaunter-kaunter TAIB. Cara lain ialah menerusi Mesin Deposit Tunai (CDM) dan kotak-kotak Tabung Dana Pembinaan Masjid yang ditempatkan di masjid-masjid.

Haji Abdul Rajid semasa menyampaikan taklimat mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Brunei Darussalam, di Tutong kelmarin.
Haji Abdul Rajid semasa menyampaikan taklimat mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Brunei Darussalam, di Tutong kelmarin.

Kemudahan bagi membuat sumbangan menerusi kaedah pemotongan gaji bagi kakitangan kerajaan sedang diusahakan, jelas beliau.

Jerayawara hari ini yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pejabat Hal Ehwal Masjid bagi Daerah-daerah antara lain bertujuan memberi kefahaman kepada para pegawai masjid mengenai prosedur pengutipan tabung berkenaan.

Jerayawara julung-julung kalinya itu diisi dengan taklimat mengenai tatacara kutipan tabung berkenaan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohammad Salleh selaku Ketua Urus Setia bagi Tabung Dana Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

Menurut Haji Abdul Rajid, terdapat 26 buah masjid Daerah Tutong telah meletakkan peti Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid untuk kemudahan orang ramai menghulurkan sumbangan.

Bagaimanapun, 11 buah masjid masih belum menghantar kutipan mereka kepada pihak sekretariat, katanya sambil mengingatkan masjid-masjid supaya menyerahkan penyata kewangan mereka setiap bulan.

Jerayawara berkenaan dihadiri oleh pegawai-pegawai masjid Daerah Tutong, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah masjid di daerah berkenaan.

Majlis diselajurkan dengan penyerahan sumbangan wakaf berupa penyembur air kepada ketua-ketua imam bagi tiga buah masjid di Daerah Tutong.

Juga diadakan penyerahan logo Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid kepada Pemangku Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

Turut hadir Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah, dan Ketua Kampung Birau, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim.

ARTIKEL YANG SAMA