Dana Masjid: Sumbangan potongan gaji mulai Sept.

Dana Masjid: Sumbangan potongan gaji mulai Sept.

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Kaedah potongan gaji bagi sumbangan untuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Brunei Darussalam akan dilaksanakan mulai September ini, sebagai kemudahan untuk kakitangan kerajaan.

Menurut Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, buat masa ini kaedah tersebut boleh dibuat menerusi dua buah bank utama iaitu Bank Islan Brunei Darussalam (BIBD) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), yang mana ia hanya untuk pegawai dan kakitangan kerajaan.

Bagaimanapun, tambah beliau, orang ramai dan kakitangan swasta juga boleh membuat sumbangan menerusi arahan bank di kedua-dua bank tersebut.

Beliau yang selaku Ketua Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam menjelaskan demikian kepada Media Permata ketika ditanya mengenai kemudahan membuat sumbangan terutama bagi orang ramai dan kakitangan swasta.

Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) mengambil inisiatif dengan meneruskan lagi jerayawara khusus pegawai masjid Daerah Brunei Muara Zon II, hari ini, untuk memberi kefahaman mendalam mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam.

Haji Abdul Rajid menyampaikan taklimat semasa jerayawara Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, kelmarin.
Haji Abdul Rajid menyampaikan taklimat semasa jerayawara Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, kelmarin.
Antara yang hadir di majlis itu.
Antara yang hadir di majlis itu.
Haji Abdul Rajid menyerahkan wakaf kepada salah seorang imam masjid di Zon II.
Haji Abdul Rajid menyerahkan wakaf kepada salah seorang imam masjid di Zon II.

Jerayawara mengenai tatacara kutipan tabung dana berkenaan berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

Menurut Haji Abdul Rajid, setiap masjid diarahkan untuk membuka sebuah tabung dana bagi pembinaan masjid bermula 4 Jun 2015, selaras dengan tarikh bermulanya Pelancaran Tabung Dana berkenaan.

Tabung dana itu boleh dikenal pasti dengan logo yang telah disediakan oleh urus setia tabung dana berkenaan.

Tabung itu hendaklah dibuka setiap hari dan hasil kutipan hendaklah dimasukkan ke dalam akaun tabung dana di BIBD atau TAIB pada setiap hari/minggu dan penyata kewangan tabung dana bersama salinan slip simpanan bank hendaklah dihantar ke urus setia tabung dana, JHEM pada setiap hari Sabtu bagi tujuan pengauditan.

“Sekiranya kutipan hanya $1, $2 atau $10, pegawai masjid diingatkan untuk menyimpan kutipan tersebut di tempat yang selamat,” jelasnya.

Bukan setakat itu, kutipan ini juga boleh dibuat secara online di BIBD atau kaunter di TAIB.

Logo yang akan diletakan pada Tabung Dana Pembinaan Masjid berkenaan.
Logo yang akan diletakan pada Tabung Dana Pembinaan Masjid berkenaan.

Sehubungan itu, ketua zon diseru untuk mengingatkan masjid-masjid di bawah jagaan untuk menghantar penyata kewangan setiap bulan.

Jerayawara itu, diteruskan dengan penyerahan wakaf bagi beberapa buah masjid yang disumbangkan oleh warga Kementerian Hal Ehwal Ugama, penyerahan logo seterusnya Ithifal Aidilfitri bersama pegawai, masjid, imam, bilal, merbut, buruh dan ahli jawatankuasa.

Di Daerah Brunei Muara Zon II, 21 buah masjid membuka Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid dan setakat ini dua buah masjid sahaja lagi yang belum menyerahkan jumlah kutipan tabung dana bagi pembinaan masjid berkenaan.

Acara seumpama ini akan dilaratkan ke Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar pada 5 Ogos 2015 bermula pukul 8.30 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA