DANA terima sumbangan $42,000

DANA terima sumbangan $42,000

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Persatuan Fuzhou Shiyyi (Brunei) yang terdiri daripada 45 penyumbang hari ini menyampaikan sumbangan mereka berjumlah $42,000 kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA).

Sumbangan tersebut merupakan kali kedua diadakan di mana kali pertama ialah pada bulan Julai 2014 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sejumlah $50,500.

Sumbangan disampaikan kepada Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim.

Dengan adanya sumbangan ini, ia akan memudahkan DANA untuk meneruskan projek-projek yang menjurus kepada aspek memeduli kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim khususnya dalam hal-ehwal pendidikan.

Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Puasa bin Haji Jumat dalam ucapannya menjelaskan, sumbangan kewangan yang diterima digunakan sepenuhnya untuk membiayai projek-projek.

Yang Berhormat Pehin menerima sumbangan untuk DANA daripada Pengarah Urusan AIFA Sdn Bhd Lily Ngo.
Yang Berhormat Pehin menerima sumbangan untuk DANA daripada Pengarah Urusan AIFA Sdn Bhd Lily Ngo.
Jackson Ting Jack Hing dari D’Sunlit Sdn Bhd menyampaikan kepada Yang Berhormat Pehin untuk DANA.
Jackson Ting Jack Hing dari D’Sunlit Sdn Bhd menyampaikan kepada Yang Berhormat Pehin untuk DANA.

“Ini antaranya penyediaan Akaun Simpanan DANA bagi setiap anak yatim yang berdaftar dengan DANA di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei dengan diberikan sumbangan awal sejumlah $500 iaitu sekali sahaja bagi setiap akaun”, tambahnya.

Di samping itu, Penyediaan Pelan Takaful Siswa Khas Bagi Anak-anak Yatim dan bantuan pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim dalam bentuk kupon bernilai $70 bagi setiap anak yatim yang berdaftar dengan DANA.

Selain itu juga, Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA iaitu satu skim penggalak atau pendorong kepada pelajar-pelajar daripada golongan anak-anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam mengikut kriteria yang ditetapkan oleh DANA.

Setakat ini, jumlah anak yatim yang berdaftar dengan DANA sehingga penghujung bulan Jun 2015 ialah seramai 3,972 orang anak yatim dan daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah dari Daerah Brunei dan Muara, 14 peratus dari Daerah Tutong, 10 peratus dari Daerah Belait dan 6 peratus dari Daerah Temburong.

Turut hadir di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Haji Brahim bin Haji Ismail, penolong-penolong Pengarah Urusan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

ARTIKEL YANG SAMA