Daniel Sturridge komited

Daniel Sturridge komited

LONDON, 25 Feb (Reuters) – Daniel Sturridge telah berjanji untuk bersama kelab walaupun pengurus Juergen Klopp secara terbuka mengkritik sikap penyerang itu terhadap masalah kecederaannya.

Pemain antarabangsa England itu menghabiskan banyak masa di luar permainan dengan kecederaan pinggul, lutut, kaki dan hamstring sejak berhijrah ke Anfield dari Chelsea pada 2013.

Kecederaan yang dialaminya bermakna Sturridge membuat permulaan Liga Perdana Inggeris di bawah Klopp dalam kemenangan 6-0 ke atas Aston Villa awal bulan ini untuk penampilan liga keenamnya musim ini.

Sturridge membidas kritikan yang dilontarkan penyokong kepada dirinya apabila mengatakan dia tidak bermain dengan sepenuh jiwa untuk Liverpool.

Penyerang The Reds itu akhirnya membuka mulut, semalam berhubung spekulasi yang menyelubungi dirinya yang mengalami kecederaan panjang dengan menegaskan dia sangat kecewa terhadap dakwaan dia mahu meninggalkan Anfield.

Klopp (kiri) dan Sturridge bercakap kepada wartawan semasa sidang akhbar di Pusat Latihan Liverpool kelmarin. – Reuters
Klopp (kiri) dan Sturridge bercakap kepada wartawan semasa sidang akhbar di Pusat Latihan Liverpool kelmarin. – Reuters

Di depan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dia menyatakan komitmennya terhadap kelab itu biarpun penyokong mempersoalkan komitmennya dalam laman media sosial.

“Saya sentiasa melihat ke hadapan untuk bersama Liverpool. Saya gembira di sini,” Sturridge memberitahu pemberita menjelang pertemuan 32 terakhir Liga Europa menentang kelab Bundesliga, FC Augsburg, lewat hari ini.

“Untuk mengatakan pemain tidak mahu bermain adalah penghinaan terbesar yang anda boleh katakan kepada mana-mana pemain bola sepak. Tiada siapa tahu bermain bola sepak benar-benar bermakna kepada saya.”

Klopp juga merasakan tidak ada keperluan untuk mana-mana perbincangan lebih lanjut mengenai masa depan penyerang berusia 26 tahun itu. “Beberapa perkara sudah jelas sekarang – masa depannya. Anda boleh berhenti berfikir tentang perkara ini,” kata Klopp.

Pertahanan Liverpool Dejan Lovren akan terlepas permainan manakala Joe Allen, Martin Srktel dan Adam Lallana juga diketepikan. The Reds memerlukan kemenangan untuk meraih tempat ke pusingan 16 terakhir berikutan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan pertama minggu lepas.