Dapat 30 peratus daripada tempahan A321neo

Dapat 30 peratus daripada tempahan A321neo

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Asia Aviation Capital Ltd (AAC) bakal mendapat manfaat daripada pembelian 100 pesawat Airbus A321neo oleh syarikat induknya, AirAsia Bhd baru-baru ini, dengan 30 peratus tempahan dijangka diperuntukkan kepada syarikat itu.

AAC, syarikat pajakan pesawat milik penuh AirAsia, dalam satu kenyataan berkata ia menjangka menerima 30 daripada 100 pesawat Airbus A321neo bagi operasi pajakannya.

Perjanjian pembelian pesawat antara AirAsia dan Airbus bernilai AS$12.6 bilion pada harga senarai dimeterai semasa Pameran Udara Antarabangsa Farnborough di United Kingdom minggu lepas.

Ia merupakan pembelian kali pertama AirAsia bagi model terbesar kumpulan A320, kata AAC dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami mengalu-alukan pembelian A321neo oleh AirAsia. Pesawat itu sangat ekonomi dan akan membantu mengembangkan syarikat ketika kami terus membina portfolio pajakan kami kepada syarikat sekutu AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga,” kata Pegawai Prinsipal dan Pengarah AAC Rozman Omar.

Ketika ini AAC memiliki atau membiayai lebih 55 pesawat komersial Airbus A320 yang dipajakkan terutamanya kepada syarikat sekutu AirAsia di luar Malaysia dan penghantaran 100 lagi pesawat akan menjadikan kesemua jumlah pesawat model A320 kepada 155.

Penghantaran pertama pesawat A321neos dijangkakan pada 2019, menambah beberapa lagi setiap tahun sehingga 2028. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA