Dapat dandanan rambut percuma

Dapat dandanan rambut percuma

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 Ogos – Salon Kecantikan Widia Kuala Belait, buat pertama kalinya telah menganjurkan kerja amal dengan mengunjungi pelajar-pelajar berkeperluan khas di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan yang diketuai oleh Pengurusnya, Dayang Winnie Lo dan disertai dua lagi rakan perniagaannya, berserta empat orang tukang gunting salon tersebut, mereka telah melakukan kerja amal memotong rambut pelajar-pelajar pusat tersebut secara percuma.

Menurut Dayang Winnie Lo, kerja amal tersebut ingin diteruskan pada bila-bila masa khidmat mereka diperlukan oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas itu, dan aktiviti tersebut adalah sebagai salah satu khidmat mereka kepada masyarakat yang memerlukan di daerah ini.

Salon Kecantikan Widia yang terletak di Jalan Bunga Rambai, di sini, itu telah dibeli daripada pemilik sebelum ini, sejak dua tahun lalu dan setakat ini, salon tersebut beroperasi dengan menyediakan perkhidmatan mendandan rambut seperti memotong, kerinting dan sebagainya untuk wanita dan lelaki secara berasingan.

Pendandan Salon Kecantikan Widia, rasa gembira berkesempatan memotong rambut pelajar-pelajar Pusat Ehsan sebagai kerja amal yang dianjurkan buat pertama kali oleh pengurus salon tersebut.
Pendandan Salon Kecantikan Widia, rasa gembira berkesempatan memotong rambut pelajar-pelajar Pusat Ehsan sebagai kerja amal yang dianjurkan buat pertama kali oleh pengurus salon tersebut.

Menurut Dayang Winnie Lo, pada peringkat awal ini, mereka akan menumpukan aktiviti kerja amal di daerah ini sahaja, kerana mereka berpusat di sini dan mudah digerakkan.

Ditanya mengenai keadaan perniagaan pada masa ini, beliau mengakui bahawa ia agak menurun kebelakangan ini, namun perniagaan agak meningkat pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, dan sebagainya.

“Untuk memapankan keadaan perniagaan, kami sentiasa membuat promosi untuk menarik pelanggan datang ke salon, yang juga menyediakan khidmat mekap pengantin, seni cat kuku, make over individu dan sebagainya.

“Kami beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam dan pada hari Jumaat tutup pada jam 12 tengah hari hingga 2 petang,” katanya.

Selain mendandan dan memotong rambut seramai 20 orang pelajar di Pusat Ehsan, salon berkenaan telah menghulurkan sumbangan cenderahati kepada pelajar-pelajar berkenaan yang disampaikan pada akhir sesi lawatan mereka itu.

ARTIKEL YANG SAMA