Dapat permit khusus pelihara spesies dilindungi

Dapat permit khusus pelihara spesies dilindungi

KUCHING, 14 Jan (Bernama) – Individu yang ingin memelihara spesies burung yang dilindungi digesa untuk mendapatkan permit berkaitan dari Jabatan Hutan Sarawak yang terdekat.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang juga Kontroler Bahagian Hidupan Liar Sarawak Sapuan Ahmad berkata menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 29 (2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Ordinan 1998, kerana memelihara tanpa permit mana-mana burung daripada spesies yang dilindungi. “Mana-mana pesalah, jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya,” katanya di sini. Beliau berkata berdasarkan pemerhatian terkini jabatan itu, didapati terdapat banyak orang berminat untuk memelihara burung sebagai haiwan peliharaan, terutamanya dari spesies yang dilindungi.

Sapuan juga menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam penjualan daging hidupan liar.

Jabatan itu sedang memantau penjualan daging binatang belukar serta hidupan liar lain yang dilindungi dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat, katanya.