Dapat sahkan cuti sakit sendiri

Dapat sahkan cuti sakit sendiri

Oleh Hakim Hayat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kakitangan awam tidak lama lagi akan dapat mengesahkan cuti sakit mereka sendiri bagi penyakit ringan tanpa perlu mendapatkan sijil cuti sakit dari klinik atau hospital, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

Langkah berkenaan, pertama kali dibangkitkan oleh Kementerian Kesihatan awal tahun ini, akan berkuat kuasa pada 1 September 2016 dan bakal membolehkan kakitangan awam untuk mengambil Cuti Sakit Disahkan Sendiri (CSDS) bagi tempoh maksimum enam hari setahun yang akan ditolak daripada cuti tahunan sementara mereka yang tidak lagi mempunyai cuti perlu mengambil cuti tidak bergaji di bawah sistem baru berkenaan.

Menurut pekeliling itu, CSDS tidak boleh diambil lebih daripada dua hari berturut-turut termasuk cuti am, awam dan khas.

Jabatan Perdana Menteri berkata, penolakan daripada cuti tahunan itu akan membantu mengawal penyalahgunaan CSPS, dan menjelaskan sistem itu diperkenalkan kerana terdapat beberapa penyakit ringan boleh dirawat dengan ubat-ubat yang dijual di farmasi.

Selain itu, CSDC juga akan membantu mengurangkan kekerapan perjumpaan pegawai perubatan bagi rawatan penyakit-penyakit ringan yang dapat dirawat sendiri.

Penyakit ringan dalam sistem baru itu bermaksud, penyakit yang tidak memerlukan rawatan perubatan berpanjangan dan mempunyai risiko rendah dalam menyebabkan komplikasi dan ketidakselesaan kepada penghidapnya yang boleh menjejaskan pelaksanaan kerja dan juga keselamatan mereka.

Antara penyakit ringan yang dinyatakan sebagai garis panduan dalam pekeliling itu termasuk batuk dan demam, buasir, gastroenteritis, demam alergi, ketidakcernaan, jangkitan vagina, sakit belakang, sakit gigi, senggugut, sakit kepala/migrain, sakit kerongkong, sembelit dan sakit leher.

Senarai ini, bagaimanapun, tidak terhad kepada penyakit-penyakit ringan lain.

CSDS boleh dipohon oleh semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam termasuk yang berjawatan tetap, sebulan ke sebulan, berkontrak, ‘open-vote’ dan bergaji hari.

Sijil cuti sakit daripada doktor diperlukan jika CSDS telah habis digunakan iaitu enam hari dalam setahun dan jika CSDS diambil melebihi dua hari berturut-turut, sijil cuti sakit bagi hari ketiga dan seterusnya adalah diperlukan.

CSDS hanya boleh dipohon di dalam negara sahaja dan semasa CSDS, pegawai-pegawai dan kakitangan berkenaan tidak dibenarkan ke luar negara.

Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa untuk memohon bagi CSDS, pegawai dan kakitangan awam boleh memaklumkan ketua-ketua jabatan, bahagian atau unit melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas, atau mana-mana aplikasi perhubungan seperti WhatsApp dalam tempoh 24 jam pada hari sama semasa CSDS dipohonkan.

Jika gagal berbuat demikian, pegawai dan kakitangan berkenaan boleh dianggap tidak hadir bekerja tanpa kebenaran atau tanpa sebab. Permohonan CSDS juga mesti dipohon sendiri, dan tidak boleh diwakilkan.

Borang permohonan CSDS hendaklah diisi melalui Sistem Pengurusan Pekerja Kerajaan (GEMS) atau borang jabatan sebaik-baik sahaja kembali bertugas, dan hendaklah disahkan oleh ketua-ketua jabatan/bahagian/unit. Baki CSDS yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, awal tahun ini, memberitahu media tempatan bahawa beberapa buah syarikat swasta seperti Brunei Shell Petroleum telah menggunakan langkah berkenaan dan berkata, dengan pengenalan sistem itu kepada sektor awam, beliau berharap sektor swasta akan mengikutinya.

Beliau berkata, menggunakan sijil disahkan sendiri akan meningkatkan produktiviti dan membantu mengurangkan bebanan ke atas klinik-klinik kerajaan dengan meletakkan tanggungjawab ke atas individu berkenaan dan tempat kerja, berdasarkan kepercayaan.

ARTIKEL YANG SAMA