Darah anda bantu selamat nyawa orang lain

Darah anda bantu selamat nyawa orang lain

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Menderma darah adalah amalan mulia dan menjadi sedekah yang tidak ternilai harganya selain pendermaan darah juga sebenarnya merangsang badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah baru yang mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen ke seluruh badan seterusnya membuatkan diri berasa lebih segar dan sihat.

Sehubungan itu, Kompleks Pusat Membeli-Belah Mabohai hari ini menganjurkan Kempen Derma Darah dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan yang berlangsung di pusat membeli belah berkenaan.

Pengurus Kompleks Yee-Man Cheng yang menyertai kempen tersebut ketika ditemu bual menjelaskan, kempen seumpama ini telah lama dilaksanakan oleh kompleks berkenaan yang mana ia telah mendapat sambutan menggalakkan bukan saja daripada kakitangan kompleks tapi juga orang ramai yang membeli belah di kompleks ini.

Yee-Man Cheng merupakan penderma aktif dalam kempen ini di mana penglibatan beliau sebagai penderma darah hari ini adalah kali ke-32 di mana kali pertama beliau membuat pendermaan darah pada usia 23 tahun.

Yee-Man Cheng, penderma aktif yang sudah menderma darahnya buat kali ke-32.
Yee-Man Cheng, penderma aktif yang sudah menderma darahnya buat kali ke-32.
Awang Mohammad Khairul Asmadi gembira kerana berpeluang menyertai kempen ini.
Awang Mohammad Khairul Asmadi gembira kerana berpeluang menyertai kempen ini.

Beliau juga memberi galakan kepada anak-anaknya untuk mengikuti jejak langkahnya dengan menjadi penderma yang konsisten pada peringkat usia yang muda dalam usaha membantu menambah tabung darah.

Manakala salah seorang kakitangan di kompleks berkenaan, Awang Mohammad Khairul Asmadi berkata, penglibatan beliau dalam kempen derma darah ini merupakan kali ketiga dan beliau berharap akan menjadi penderma tetap untuk sama-sama membantu menambah jumlah darah di negara ini.

Beliau juga mengakui merasa lebih tenang kerana mengetahui darah mereka dapat menyelamatkan nyawa orang lain, tanpa mengira batasan umur, kaum dan agama.

Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh kompleks berkenaan adalah kali kedua bagi tahun ini dan sehingga pukul 10 pagi tadi lebih 15 penderma tampil untuk mendermakan darah mereka.

ARTIKEL YANG SAMA