DARe adakan sesi dialog bersama Jabatan Buruh

DARe adakan sesi dialog bersama Jabatan Buruh

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Darussalam Enterprise (DARe) telah mengadakan sesi dialog DARe keenam bersama Jabatan Buruh, yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Rekan Bentuk & Teknologi, semalam.

Sesi dialog telah dimulakan dengan pembentangan oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof, diikuti dengan pembentangan oleh Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Buruh, Awang Shahriman bin Haji Besar.

Tujuan dialog adalah bagi memberikan maklumat yang telus kepada orang awam mengenai proses-proses di bawah Jabatan Buruh, termasuk proses permohonan kuota buruh, proses permohonan dalam talian dan juga berkongsi mengenai senarai aplikasi yang dibekukan.

Dialog berkenaan juga membukakan peluang sesi soal jawab kepada orang ramai bagi mereka berkongsi isu-isu dan pengalaman mereka dengan proses yang berkaitan dengan Jabatan Buruh.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh ketika menyampaikan pembentangan.
Pemangku Pesuruhjaya Buruh ketika menyampaikan pembentangan.

Lebih 90 orang telah menghadiri sesi berkenaan, yang kebanyakannya terdiri daripada komuniti perniagaan dan lainnya dari agensi kerajaan serta para individu yang berminat.

Kesinambungan dialog itu yang diadakan setiap dua minggu, membolehkan DARe dan agensi berkenaan untuk memahami isu-isu yang dihadapi komuniti perniagaan di Brunei dan membincangkan mengenai kemungkinan penyelesaian yang boleh meningkatkan ekosistem perniagaan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA