DARe anjur sesi dialog ke-9

DARe anjur sesi dialog ke-9

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – DARe (Darussalam Enterprise) baru-baru ini telah mengadakan sesi dialog ke-9, kali ini bersama Komuniti Perniagaan Cina yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa.

Sesi berkenaan telah diketuai oleh Menteri Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Dato Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan dihadiri oleh seramai 112 orang.

Sesi dialog mengetengahkan tiga pembentangan iaitu mengenai DARe oleh Ilie Rahman; Unit Ease of Doing Business (EODB) di bawah Jabatan Perdana Menteri oleh Ketua EODB, Awangku Mohd Abdul Aziz bin Pengiran Ali Hassan; dan Pusat Sokongan Tindakan FDI (FAST) oleh Ketua FAST, Hajah Norul Hasanah binti Haji Hassanol Asshari.

Para hadirin telah diperkenalkan mengenai DARe termasuk matlamat utamanya, fungsi dan perkhidmatannya, kemudian mendengar taklimat mengenai EODB, yang semata-mata memberi tumpuan kepada meningkatkan persekitaran perniagaan Brunei dan untuk merangsang pertumbuhan dan aktiviti perniagaan.

Antara yang hadir pada sesi dialog ke-9 DARe bersama Komuniti Perniagaan Cina.
Antara yang hadir pada sesi dialog ke-9 DARe bersama Komuniti Perniagaan Cina.

Dialog itu kemudian berpindah kepada topik ‘Perkembangan Ekonomi Koridor Brunei GuangXi’ dan diteruskan dengan sesi soal jawab.

Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao yang juga hadir pada sesi dialog berkenaan ketika ditemu bual berkata bahawa ia merupakan satu inisiatif yang baik oleh kerajaan dalam mewujudkan platform untuk Komuniti Perniagaan Cina Brunei dalam memahami amalan yang terbaik dan membuat kaji selidik.

“Kita perlu mempunyai banyak dialog seperti ini dan saya sangat berharap untuk mengikuti sesi yang akan datang dan juga membuahkan hasil daripada sesi dialog kepada usahawan lama dan baru,” katanya lagi.