DARe anjur Sesi Inspirasi bagi pengusaha

DARe anjur Sesi Inspirasi bagi pengusaha

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Darussalam Enterprise (DARe), hari ini, buat pertama kalinya telah menganjurkan Sesi Inspirasi untuk meluaskan pengetahuan dan membuka minda para peniaga bagi peluang baru dalam menjalankan perniagaan.

Sesi bertajuk ‘Menjadi Usahawan bagi Komuniti’ yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa itu mengetengahkan Presiden Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan ahli Lembaga DARe, Del Goh.

Dalam ceramahnya, Del Goh telah menyentuh mengenai berfikir secara mendalam dan menyemai kesedaran.

“Untuk membuka minda anda ialah dengan meningkatkan tahap kesedaran anda. Saya tidak percaya bahawa menjalankan perniagaan cuma sekadar menjalankan perniagaan. Saya percaya dengan impak positif terhadap orang di sekeliling kita dan juga masyarakat.”

Untuk merubah apa-apa sahaja yang dimahukan, menurut Del Goh, seseorang itu perlu merubah diri mereka sendiri.

Antara yang hadir pada sesi tersebut.
Antara yang hadir pada sesi tersebut.
Del Goh ketika menyampaikan ceramahnya yang bertajuk ‘Being an Entrepreneur for the Community’.
Del Goh ketika menyampaikan ceramahnya yang bertajuk ‘Being an Entrepreneur for the Community’.

“Ia perlu datang dari dalam diri anda dan anda perlu percaya dalam usaha supaya ia berkesan.”

Del Goh turut menyentuh mengenai empat sudut kesihatan dan tenaga iaitu kerohanian, emosi, mental dan fizikal, yang menurutnya, penting dalam kehidupan, kesihatan dan tenaga seseorang.

“Untuk ianya berkesan, sudut berkenaan perlulah dalam sejajar,” ujarnya, sambil menambah, dalam menyejajarkan empat sudut itu, beberapa perkara penting untuk dikuasai seperti komunikasi, komitmen, visi, minat dan bermacam-macam lagi.

Dalam komunikasi, menurut Del Goh, yang paling penting adalah mendengar, yang mana dengan cara mendengar yang baik akan meningkatkan lagi kejelasan, yang seterusnya akan membina kepercayaan di antara dua pihak. Dari segi komitmen pula, Del Goh berkata, orang pertama yang perlu diberikan komitmen adalah diri sendiri iaitu komited menjadi individu yang lebih sihat. Manakala dari segi visi, kita perlu ada visi yang akan memberi kesan kepada kebanyakan orang.

Sementara itu, dari segi minat pula, Del Goh menjelaskan bahawa minat boleh datang daripada visi namun seseorang itu tidak boleh menetapkan wang sebagai minatnya.

“Jika minat anda adalah wang, ia tidak akan kekal lama. Ini kerana wang adalah hasil daripada minat,” tekannya.

Lebih kurang 70 orang yang terdiri daripada kalangan usahawan dan orang awam yang hendak memulakan perusahaan hadir bagi mendengarkan ceramah tersebut.

Acara telah diakhiri dengan sesi soal jawab di antara para hadiran dengan Del Goh sebelum majlis bersurai.

ARTIKEL YANG SAMA